HAALAND bermula cemerlang dalam penampilan pertamanya di EPL. FOTO Reuters
HAALAND bermula cemerlang dalam penampilan pertamanya di EPL. FOTO Reuters
Reuters

London: Penyerang Manchester City, Erling Haaland dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Bulanan Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk Ogos.

Haaland menjaringkan sembilan gol dalam lima perlawanan untuk permulaan cemerlang kariernya di England.

Haaland, 22, menjaringkan dua gol pada penampilan sulungnya menentang West Ham United dan menjaringkan satu gol bertemu Newcastle United sebelum meledak hatrik berturut-turut ketika menentang Crystal Palace dan Nottingham Forest.

Dia membantu City memenangi empat daripada lima perlawanan pembukaan mereka.

Pemain antarabangsa Norway itu, yang menyertai City dari Borussia Dortmund, menewaskan saingan daripada gandingan Arsenal Gabriel Jesus dan Martin Odegaard serta penyerang Fulham, Aleksandar Mitrovic.

Menurut Opta, hanya bekas penyerang Liverpool, Luis Suarez menjaringkan lebih banyak gol dalam tempoh satu bulan di EPL, iaitu dengan 10 gol pada Disember 2013.

"Saya gembira memenangi anugerah ini buat kali pertama – ia permulaan musim yang luar biasa untuk pasukan dan saya berterima kasih kepada semua yang mengundi,"

"Kami semua mahu beraksi baik pada musim ini, jadi memenangi empat daripada lima perlawanan adalah permulaan yang cemerlang untuk kami dalam pertandingan paling mencabar di dunia. Saya gembira dapat memainkan peranan saya dengan menjaringkan gol.

"Mudah-mudahan, saya boleh terus membantu pasukan ... dan meneruskan permulaan kukuh kami untuk musim ini." kata Haaland dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2022 @ 11:01 PM