HAALAND tersisih daripada skuad Man City ke Brighton kerana kecederaan otot. FOTO AFP
HAALAND tersisih daripada skuad Man City ke Brighton kerana kecederaan otot. FOTO AFP
AFP

London: Impian Manchester City mengekalkan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) tersentak apabila penyerang Norway, Erling Haaland diketepikan dalam pertemuan di Brighton, awal pagi Jumaat ini.

Haaland tidak beraksi ketika City menang 1-0 ke atas Chelsea di separuh akhir Piala FA di Wembley, Sabtu lalu, kerana kecederaan otot dialami ketika tersingkir di suku akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Real Madrid, minggu lalu.

Haaland, penjaring terbanyak City dengan 20 gol EPL musim ini, belum pulih sepenuhnya dan tidak akan berkunjung ke Stadium Amex apabila juara bertahan itu mahu merapatkan jurang dengan pendahulu, Arsenal.

Bos City, Pep Guardiola menegaskan kecederaan Haaland tidak serius dan dia mungkin cergas untuk menentang Nottingham Forest pada Ahad ini.

Pada ketika Haaland diketepikan, Guardiola mendapat berita gembira apabila pemain antarabangsa England, Phil Foden dan John Stones diberi lampu hijau untuk berdepan Brighton.

"Erling tidak sedia untuk perlawanan esok, tetapi dua pemain itu sudah cergas," kata Guardiola kepada wartawan, hari ini.

"Saya tahu ia bukan isu besar, tetapi dia tidak dibenarkan bermain ketika ini."

Perebutan takhta liga semakin sengit apabila City berada di tempat ketiga dan ketinggalan empat mata di belakang Arsenal yang membelasah Chelsea 5-0, awal pagi semalam.

Anak buah Guardiola beraksi kurang dua perlawanan berbanding Arsenal dan kurang satu perlawanan berbanding pasukan di tangga kedua, Liverpool, yang akan berdepan Everton di Goodison Park, awal pagi esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 10:16 PM