KLOPP (kiri) puas hati Liverpool catat kemenangan pertama. -FOTO AFP
KLOPP (kiri) puas hati Liverpool catat kemenangan pertama. -FOTO AFP
AFP

Liverpool: Jurgen Klopp memuji 'petang yang sempurna' buat Liverpool ketika mereka menyamai rekod kemenangan terbesar Liga Perdana Inggeris apabila membelasah Bournemouth 9-0 di Anfield, semalam.

Roberto Firmino dan Luis Diaz both, kedua-duanya menjaringkan dua gol selain satu gol masing-masing dari Harvey Elliott, Trent Alexander-Arnold, Virgil van Dijk, Fabio Carvalho dan gol sendiri Chris Mepham melengkapkan jaringan.

Ia adalah kali keempat dalam sejarah Liga Perdana sebuah pasukan menang dengan sembilan gol.

Manchester United sebelum ini membelasah Ipswich 9-0 pada 1995 dan Southampton dengan jaringan yang sama tahun lalu. Leicester turut menang 9-0 di Southampton pada 2019.

Keputusan itu adalah sesuatu yang luar biasa buat Liverpool ketika membuat permulaan liga terburuk dalam satu dekad dengan keputusan dua seri dan satu tewas.

Keputusan itu juga menutup mulut pengkritik apabila mereka berjaya mencatatkan kemenangan pertama musim ini pada percubaan keempat.

"Setiap pengurus di dunia ini adalah seorang penghibur yang hebat apabila anda memenangi perlawanan.

"Apabila anda perlu menjawab soalan selepas anda kalah dalam perlawanan dan cuba mencari penjelasan ia kelihatan alasan atau apa saja," kata Klopp.

"Kami tak berpuas hati dengan cara kami bermain. Kami mempunyai saat terbaik dalam hampir semua perlawanan di mana kami menunjukkan kekuatan kami dan perkara lain yang perlu diperbaiki.

"Anda dapat gol awal ini dan dapat gol kedua. Dan kami meneruskannya, menjaringkan gol berbeza tetapi sentiasa dengan tujuan sama: teruskan, beri tekanan kepada mereka, jangan berhenti.

"Selepas babak pertama adalah penting kami, sekali lagi, meneruskannya, teruskan kerana ia masih di awal musim.

"Pada penghujungnya ia adalah petang yang sempurna buat kami."

Fabinho kembali memperkuatkan bahagian tengah Liverpool selepas kekalahan 2-1 kepada Manchester United yang menyebabkan mereka ketinggalan lima mata di belakang juara bertahan, Manchester City.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2022 @ 8:59 AM