KLOPP memeluk Nunez selepas tamat perlawanan di Elland Road. FOTO Reuters
KLOPP memeluk Nunez selepas tamat perlawanan di Elland Road. FOTO Reuters
Reuters

Leeds, England: Kemenangan besar Liverpool 6-1 ke atas Leeds United di Elland Road awal pagi tadi adalah prestasi terbaik mereka musim ini, menurut pengurus Juergen Klopp yang mahu memastikan skuadnya mengekalkan momentum untuk merebut tiket ke Liga Juara-Juara musim depan.

Kemenangan itu yang pertama The Reds dalam enam perlawanan semua kejohanan sejak menewaskan Manchester United 7-0 awal Mac lalu selain mencipta kekalahan terbesar Leeds di tempat sendiri.

"Saya fikir ia perlawanan terbaik kami musim ini daripada perspektif berbeza," kata Klopp kepada Sky Sports. "Kami memaksa mereka melakukan banyak kesilapan, gol sensasi dan serangan balas pantas, aksi terbaik sejak sekian lama.

"Ada beberapa detik sukar, kami melepaskan gol tidak sepatutnya tetapi selain daripada itu kami mengawal permainan."

Liverpool turut membelasah Bournemouth 9-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Rangers 7-1 (Liga Juara-Juara) musim ini tetapi Klopp berkata dia selalu menilai prestasi pemainnya berbanding jumlah gol mereka jaringkan.

"Saya tidak teruja sangat enam gol, ia mengenai prestasi dan ini adalah prestasi kemenangan," katanya.

"Kami boleh menjadi sangat berbisa jika reaksi kami tepat pada masanya. Sukar saya jelaskan mengapa serangan balas tidak menjadi (awal musim ini) tetapi hari ini ia menjadi.

"Saya tak pasti jumlah gol kami jaringkan apabila kami memenangi bola - ia menjadikan semuanya berbeza."

Skuad Klopp mendahului perlawanan di Elland Road selepas jaringan Cody Gakpo dibenarkan walaupun bola terlebih dahulu terkena tangan Trent Alexander-Arnold.

Mohamed Salah menambah jaringan empat minit kemudian sebelum Luis Sinisterra merapatkan jurang tuan rumah.

Dua jaringan Diogo Jota, ledakan Salah dan gol Darwin Nunez lewat perlawanan melengkapkan kemenangan besar Liverpool.

Mereka kini sembilan mata di belakang Newcastle United yang berada di tangga keempat dan Klopp berkata mereka perlu menang semua baki lapan perlawanan sambil berharap pasukan di atas mereka keciciran mata.

"Jika mereka menang semua perlawanan dan kami menang, tiada apa boleh berubah," katanya.

"Kami perlu beraksi dengan cara terbaik dan jika berjaya lakukannya, kami akan mendapat keputusan dan kemudian dapat mengetahui kedudukan kami dalam carta."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2023 @ 7:37 AM