HODAK mengakui kualiti Liga Jepun dan Korea Selatan berada pada tahap tertinggi. FOTO Bernama
HODAK mengakui kualiti Liga Jepun dan Korea Selatan berada pada tahap tertinggi. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kelab gergasi bola sepak asia boleh dikatakan 'sekolahkan' pasukan Asia Tenggara pada temasya Liga Juara Juara Asia (ACL) 2022 selepas dua wakilnya yang mara ke pusingan kalah mati saingan elit itu iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT) dan BG Pathum United masing masing tewas besar.

Wakil dari Liga Jepun yang juga juara Asia dua kali, Urawa Reds Diamonds membelasah skuad Harimau Selatan yang juga juara Liga Super lapan kali itu 5-0 pada aksi pusingan 16 terbaik sebelum membenam BG Pathum United 4-0 pada suku akhir.

Perkembangan itu jelas membuktikan betapa wujudnya jurang yang besar antara pasukan dari Asean dengan gergasi bola sepak Asia yang senantiasa menjadi 'muka biasa' dalam saingan elit bola sepak Asia itu.

Situasi itu diakui pengendali KL City FC, Bojan Hodak yang melihat liga terkemuka Asia khususnya Jepun dan Korea Selatan sememangnya sudah berada dalam kelas tersendiri.

"Sudah tentu ada jurang yang besar dan ini adalah berpunca daripada kualiti liga itu sendiri. Kualiti Liga Jepun dan Korea Selatan berada pada tahap tertinggi dan apa yang berlaku (keputusan di ACL) membuktikan jurang yang ada.

"Dalam situasi ini, JDT dan BG Pathum United tidak mendapat lawan yang sukar dalam saingan liga masing masing. Apabila pasukan tidak mendapat saingan yang sengit dalam liga, mereka bertemu pula pasukan di ACL yang berdepan lawan yang sukar pada setiap minggu.

"Jadi sebab inilah wujudnya jurang yang besar antara liga ASEAN dengan liga terkemuka di Asia," kata pengendali dari Croatia itu. Apapun, JDT dan BG Pathum United tetap mencipta rekod tersendiri yang boleh dibanggakan sekalipun gagal meneruskan kemaraan dalam ACL bagi musim ini.

JDT menempa sejarah sebagai pasukan pertama dari Malaysia yang layak ke pusingan kalah mati ACL sementara BG Pathum United layak ke suku akhir ACL buat kali pertama dalam sejarah pasukan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2022 @ 4:30 PM