ARIF Aiman (kanan) tersenyum ketika menjawab soalan pada sidang media menjelang perlawanan dengan BG Pathum, sambil diperhatikan pengendali JDT, Esteban Solari. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
ARIF Aiman (kanan) tersenyum ketika menjawab soalan pada sidang media menjelang perlawanan dengan BG Pathum, sambil diperhatikan pengendali JDT, Esteban Solari. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pemain Paling Bernilai (MVP) dua musim berturut-turut, Arif Aiman Hanapi bersedia untuk meneruskan momentum permainan terbaiknya apabila berdepan BG Pathum United pada aksi Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, petang esok.

Arif Aiman yang meledak dua gol ketika JDT menewaskan BG Pathum United, 4-2 pada aksi 3 Oktober lalu akan berusaha mengulangi apa yang dilakukan, namun mengakui aksi menentang kelab dari Thailand itu tetap sukar dan mencabar.

Tambahnya, walaupun sedar peluang JDT untuk ke pusingan 16 pasukan terbaik sudah tertutup, dia tetap akan bertungkus-lumus bagi memastikan skuad Harimau Selatan menutup saingan ACL dengan kemenangan, sekali gus mengatasi skuad bergelar The Rabbits itu.

"BG Pathum adalah pasukan bagus di Thailand dan perkara itu tidak menjadi satu halangan buat saya kerana akan beri 100 peratus komitmen dalam perlawanan itu nanti.

"Setiap perlawanan saya anggap sebagai satu permulaan baru yang harus diharungi secara positif.

"Kami dipersiapkan dengan motivasi sama bagi setiap pemain untuk menampilkan aksi terbaik dalam pertarungan berprestij di ACL dan sudah tentu kami mahukan aksi terakhir pentas kelab Asia dinokhtahkan dengan kemenangan.

"Saya percaya perlawanan esok amat mencabar kerana mereka sudah tahu cara dan selok-belok permainan saya dan saya pasti dikawal rapi, tapi saya tidak akan mengalah dan bakal tampil lebih agresif untuk membantu JDT menang," katanya.

Ditanya mengenai sama ada dia memasang impian untuk beraksi di luar negara selepas menunjukkan prestasi cemerlang dalam pentas saingan kelab elit Asia, Arif Aiman tampak mahu menumpukan kualiti permainan dan masih belum tiba masanya untuk melebarkan sayap di peringkat antarabangsa.

"Saya lebih mengutamakan untuk meningkatkan lagi corak permainan berbanding memikirkan beraksi di luar negara kerana sebagai pemain tempatan peluang beraksi di saingan ACL adalah pentas terbaik untuk memperkemaskan lagi mutu dan kualiti permainan.

"Jika kita bagus di pentas ACL maka kita mampu menyamai kualiti pemain yang beraksi di pentas ACL kerana tiada guna bermain di kancah Asia tapi kualiti kita persembahkan begitu rendah dan tidak mencapai piawaian," kata Arif.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 6:25 PM