REAKSI kapten Manchester United, Harry Maguire selepas pasukannya tewas 0-4 kepada Brentford, hujung minggu lalu. FOTO AFP
REAKSI kapten Manchester United, Harry Maguire selepas pasukannya tewas 0-4 kepada Brentford, hujung minggu lalu. FOTO AFP
Agensi

Manchester: Pengurus Manchester United, Erik ten Hag dilaporkan sedang memikirkan untuk tidak menyenaraikan kapten, Harry Maguire ketika melayan kunjungan Liverpool di Old Trafford, awal pagi Selasa depan.

Pemain pertahanan antarabangsa England itu disenaraikan dalam kedua-dua perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) United setakat ini, yang berkesudahan tewas kepada Brighton dan Brentford sehingga menyebabkan kelab itu terperosok ke dasar liga buat pertama kali sejak Ogos 1992.

Maguire bermain bersama pemain baharu, Lisandro Martinez dalam kedua-dua perlawanan itu, namun ia boleh berubah ketika berdepan Reds apabila pasukan cuba mengubah nasib mereka.

Bekas pengendali Ajax itu dikatakan akan memulakan permainan dengan Martinez digandingkan bersama Raphael Varane, yang pastinya akan kembali dipanggil, lapor Manchester Evening News.

Laporan sama mengatakan pemain mula merasakan pendekatan Ten Hag tidak sesuai dengan gaya mereka dan mereka ada idea sendiri bagaimana untuk berdepan Liverpool.

United dibelasah skuad kendalian Jurgen Klopp musim lalu apabila tewas 0-5 di Old Trafford dan kemudian kalah 0-4 di Anfield, selepas itu.

Maguire sebelum ini tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama oleh pemangku pengurus, Ralf Rangnick ketika Red Devils tewas 1-3 kepada Arsenal pada April.

Pemain berusia 29 tahun itu mengekalkan lilitan kapten di bawah pengurus baharu walaupun sering dikritik musim lalu dan ada penyokong meminta dia dilucutkan jawatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 8:56 AM