FERNANDES antara lima calon kapten Manchester United bagi menggantikan Maguire. FOTO AFP
FERNANDES antara lima calon kapten Manchester United bagi menggantikan Maguire. FOTO AFP
Agensi

Manchester: Bruno Fernandes antara lima calon utama menggantikan Harry Maguire sebagai kapten Manchester United.

Maguire sebelum ini mendedahkan pengendali United, Erik ten Hag melucutkannya daripada jawatan itu.

Bek tengah England itu terkejut, marah dan kecewa apabila Ten Hag memaklumkan perkara itu kepadanya ketika sesi latihan, semalam.

Keputusan itu dilihat menguatkan lagi spekulasi perpindahan Maguire dengan West Ham, Tottenham dan Newcastle berminat mendapatkan khidmat pemain 30 tahun itu.

Pemain tengah United, Fernandes antara lima calon utama yang akan memakai lilitan kapten selain Marcus Rashford, Casemiro, Raphael Varane dan Lisandro Martinez.

Pemain Portugal itu tidak mengambil masa lama untuk menyesuaikan diri di Old Trafford sejak berpindah dari Sporting Lisbon pada 2020.

Dia turut lantang bersuara dan sering tampil memastikan disiplin rakan sepasukannya.

Rashford pula adalah pemain terbaik United musim lalu dengan 30 gol dan 11 umpanan gol dalam 56 perlawanan.

Casemiro dilihat sebagai calon terbaik menerajui United dengan deretan kejuaraan yang berada dalam koleksinya.

Dia memenangi tiga gelaran La Liga, satu Piala Raja Sepanyol dan lima Liga Juara-Juara Eropah (UCL) sepanjang sembilan tahun bersama Real Madrid.

Varane turut mengumpul kejayaan dan pengalaman sepanjang 10 tahun bersama Real dan hanya kekurangan satu trofi UCL berbanding koleksi kejuaraan Casemiro.

Namun, bek tengah Perancis itu lebih berjaya di peringkat antarabangsa dengan trofi Piala Dunia yang dimenangi pada edisi 2018 dan Liga Negara-Negara Eropah 2021.

Martinez mungkin pilihan terakhir sebagai kapten baharu United, namun gandingan mantapnya dengan Varane melayakkannya untuk menjadi calon kapten.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2023 @ 9:10 PM