DATUK Lee CHONG Wei. FOTO FATHIL ASRI
DATUK Lee CHONG Wei. FOTO FATHIL ASRI
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei tanpa berselindung menganggap pemain sekarang begitu manja dan lebih mementingkan media sosia dari menjaga prestasi semasa terutama di dalam gelanggang dalam usaha memburu kejuaran demi kejuaraan.

Jelasnya, seseorang atlet itu tidak akan menikmati puncak kariernya dalam masa jangka panjang dan disebabkan itu, pemain perlu mengorbankan seketika perkara lain demi memastikan mereka benar-benar mengecap perjalanan dalam dunia badminton dengan pelbagai kejayaan.

"Untuk saya, sekarang memang tahun yang berbeza dengan masa saya zaman itu dan saya boleh kongsikan memang budak sekarang takut mahu susah, manja dan dia akan lebih fokus untuk dia punya media sosial dan bukan dekat dia punya karier.

"Saya tidak cakap saya betul atau salah kerana karier tahun tak sama tapi untuk saya boleh cakap memang kita sebagai atlet itu masa memang pendek (karier), 'golden time is very shot and i think it's more important you' kena jaga kamu punya karier dulu daripada kamu jaga kamu punya media sosial,"katanya.

Selain itu, beliau yang juga pemenang tiga pingat perak di pentas Sukan Olimpik menyatakan untuk berjaya memang perlu bekerja keras dan dirinya sangat menghormati bekas jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek yang melatihnya dengan rejim latihan namun memberi pulangan yang begitu lumayan dalam kariernya.

"Saya pukul 5 pagi sudah bangun sebab saya akan ikut (perancangan) saya punya jurulatih. Dia memang seorang luar biasa dari segi disiplin punya jurulatih, dia macam bapa saya, saya paling hormat dialah masa jurulatih saya dan saya akan dengar apa yang dia kasi arahan serta semualah semasa di dalam latihan atau lain-lain.

"Masa dia datang, dia macam (kita rasa) jurulatih sudah datang ( terasa seperti gementar) ada tekanan sikitlah,"katanya.

Untuk makluman, ketika Chong Wei masih aktif dipersada dunia badminton, dia menjadi taruhan emas buat dalam Malaysia dalam pelbagai kejohanan termasuk di Olimpik dek kerana prestasi yang begitu luar biasa.

Namun begitu, selepas persaraannya, Malaysia masih tercari-cari pemain perseorangan yang konsisten seperti beliau apatah lagi muncul juara dalam setiap pertandingan yang disertai.

Untuk rekod, selain memenangi tiga pingat perak di Sukan Olimpik (2008, 2012 dan 2016), beliau juga muncul tiga kali selaku naib juara dunia (2011, 2013 dan 2015) dan Chong Wei juga muncul sebagai satu-satunya pemenang terbanyak gelaran Super Series sebanyak 46 kali.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 1:26 PM