PENYERANG Atletico Madrid, Alvaro Morata (kanan) menjaringkan dua gol ketika menewaskan Getafe. FOTO EPA
PENYERANG Atletico Madrid, Alvaro Morata (kanan) menjaringkan dua gol ketika menewaskan Getafe. FOTO EPA
Reuters

Getafe: Penyerang Atletico Madrid, Alvaro Morata membuat kepulangan semula ke LaLiga dengan cemerlang apabila menjaringkan dua gol untuk membantu pasukannya menang 3-0 di Getafe pada perlawanan pertama musim ini.

Pemain gantian, Antoine Griezmann menjaringkan gol ketiga di hujung perlawanan dan Atletico berpeluang memenangi aksi dengan jumlah lebih besar pada perlawanan di tengah panas terik itu.

Penyerang Portugal, Joao Felix beraksi cemerlang dan melakukan tiga bantuan jaringan.
Dia membuat umpanan tepat kepada Morata, yang merembat kencang dari luar kotak penalti untuk gol pertama selepas 15 minit perlawanan.

Sebelum sejam perlawanan, Felix mengumpan kepada Morata yang kembali semula ke Atletico selepas dua tahun di Juventus, merembat bola ke penjuru atas gawang.

Pada minit ke-75, Felix berbalas hantaran dengan Griezmann dan penyerang Perancis itu menyudahkan peluang untuk memastikan tiga mata penting.

"Saya gembira kembali semua ke sini dan memang bagus apabila memulakan musim dengan kemenangan di stadium yang sukar seperti di Getafe," kata Morata kepada Movistar Plus.

"Saya gembira bermain untuk Atletico, saya berada di sini untuk meninggalkan semuanya di padang, bekerja keras dan bersaing.

"Saya yakin kami memiliki satu kumpulan kuat yang akan berjuang untuk melakukan segala-galanya."

Atletico mempamerkan prestasi mantap dan menguasai Getafe dengan tekanan tinggi dan memastikan kawasan penjaga gol, Jan Oblak kelihatan selamat untuk sebahagian besar perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2022 @ 10:27 AM