GUERRA (tengah) dirai rakan sepasukan selepas menjaringkan gol pertama.
GUERRA (tengah) dirai rakan sepasukan selepas menjaringkan gol pertama.
Agensi

Getafe: Rayo Vallecano mengharungi perlawanan 75 minit dengan 10 pemain tetapi tetap memperoleh tiga mata selepas menang 2-0 ke atas Getafe di Campo de Futbol de Vallecas, kelmarin.

Javi Guerra menjaringkan gol pada minit ke-15 tetapi kurang seminit kemudian, Rodriguez Yoel dilayangkan kad merah kerana mengasari lawan selain mengeluarkan kata-kata kesat kepada pengadil.

Dalam perlawanan itu, sembilan kad kuning dikeluarkan.

Tuan rumah yang menguasai perlawanan walaupun terpaksa beraksi dengan 10 pemain menyaksikan Nicolas Fedor Miku menggandakan kelebihan mereka pada minit ke-71.

Kemenangan itu yang pertama buat Rayo sepanjang lapan perlawanan liga sekali gus membolehkan mereka mengatasi Granada dan Getafe dengan kelebihan tiga mata.

Jaringan ke-11 Guerra musim ini terhasil menerusi cubaan di depan gawang pelawat. Kad merah Yoel dikeluarkan tidak sampai seminit kemudian tetapi Rayo terus mendominasi permainan.

Kekecohan mula tercetus lima minit selepas perlawanan bermula dengan tiga pemain Getafe dilayangkan kad kuning iaitu Antonio Juan Rodriguez, Carlos Vigaray serta Pablo Sarabia sambil pemain pelawat Raul Baena turut dikenakan tindakan sama. Pertahanan Getafe Juan Cala dilayangkan kad kuning sejurus selepas rehat.

Penjaring gol Rayo Guerra turut dikenakan kad kuning.

Miku menjadikan kedudukan 2-0 selepas rembatan kaki kirinya menerjah gawang, sejurus selepas seorang lagi pemain Rayo Triguero Tito dikenakan kad kuning.

Pemain tuan rumah, Alberto Manucho dan penyerang pelawat Santiago Vergini menerima nasib sama ketika babak akhir permainan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2016 @ 5:04 AM