MORATA terlepas penalti ketika kelabnya memulakan kempen La Liga dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas Getafe. FOTO AFP
MORATA terlepas penalti ketika kelabnya memulakan kempen La Liga dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas Getafe. FOTO AFP
Reuters

PENYERANG Atletico Madrid Alvaro Morata menjaringkan gol namun terlepas penalti ketika kelabnya memulakan kempen La Liga dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas Getafe di laman sendiri awal pagi ini yang menyaksikan kedua-dua pasukan beraksi dengan 10 pemain.

Morata menanduk masuk bola hantaran pertahanan England Kieran Trippier pada minit ke-23 dan keadaan menjadi semakin baik buat Atletico apabila pemain Getafe Jorge Molina dilayangkan kad merah kerana menghentak butnya pada minit ke-38.

Kelebihan pasukan tuan rumah hanya bertahan selama empat minit apabila bek kiri baharu Renan Lodi menerima kad kuning kedua dalam tempoh 60 saat dan mengikut jejak Molina masuk ke dalam terowong.

Pemain Atletico bernilai 126 juta euro (RM582.8 juta) Joao Felix membuat penyokong teruja dengan aksi pantasnya pada separuh masa kedua yang membolehkannya meraih penalti tetapi sepakan Morata berjaya diselamatkan penjaga gol Getafe, David Soria.

Felix kemudiannya digantikan tetapi jurulatih Atletico Diego Simeone meredakan kebimbangan mengenai tahap kecergasan pemain remaja Portugal itu dengan memberitahu dia dibawa keluar susulan kekejangan otot dan bukannya kecederaan.

Atletico terpaksa mempertahankan keputusan itu sehinggalah akhir perlawanan apabila Getafe enggan mengalah dan rembatan Angel Rodriguez menggegar palang ketika perlawanan berbaki lima minit.

Namun anak buah Simeone terus bertahan untuk meraih kemenangan dalam perlawanan pertama buat kali pertama dalam tempoh empat tahun, meneruskan keputusan membanggakan pada pra-musim di mana mereka menewaskan Real Madrid dan Juventus.

“Kami bermain beberapa perlawanan sebelum ini di mana kami terpaksa berkerja keras untuk menang dan tiada bezanya hari ini,” kata Simeone.

“Getafe adalah pasukan yang bekerja keras dan sentiasa mencipta masalah kepada anda, mereka terus berjuang dan enggan mengalah. Kami mempamerkan aksi separuh masa pertama yang hebat dengan peluang menambah kelebihan tetapi kami mensia-siakannya.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 10:32 AM