PEMAIN Negeri Sembilan FC meraikan gol pada perlawanan Liga Super menentang PJ City FC. FOTO AZRUL EDHAM
PEMAIN Negeri Sembilan FC meraikan gol pada perlawanan Liga Super menentang PJ City FC. FOTO AZRUL EDHAM
Mohd Amin Jalil


Seremban: Negeri Sembilan FC (NSFC) memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila menewaskan PJ City FC, 3-1, dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Jaringan Herold Goulon, Sean Eugene Selvaraj dan Matheus Alves meletakkan NSFC memperbaiki kedudukan dalam carta liga hasil kemenangan kedua itu.

Skuad Hobin Jang Hobin memperoleh sepakan penalti pada babak pertama apabila penjaga gol PJ City, Kalamulah Al-Hafiz Mat Rowi mengasari Alves pada minit ke-44 dan sepakan yang diambil Herold Goulon untuk gol pertama Negeri Sembilan.

Menerusi serangan balas pantas, Darren Lok memperdayakan penjaga gol Negeri Sembilan, Syihan Hazmi Mohamed menerusi jaringan penyamaan buat PJ City pada minit ke-63.

NSFC mendapat gol kedua menerusi pemain gantian Sean Eugene Selvaraj pada minit ke-80, selepas dia bijak memperdayakan Kalamullah menerusi sepakan lambung yang melepasi jangkauan penjaga gol itu.

Alves kemudian melebarkan lagi jurang tuan rumah menerusi gol ketiga pada minit ke-85 menerusi tandukan kemas ke gawang PJ City.

Sementara itu, Melaka United mencatat kemenangan 2-1 ke atas Sri Pahang di Stadium Darul Makmur, malam tadi.

Perlawanan itu bermula dengan jaringan pendahuluan tuan rumah menerusi penyerang import, Mahmoud Za'tara hasil sepakan penalti pada minit keempat.

Gol itu diperoleh selepas pemain import Sri Pahang, Manuel Hidalgo dijatuhkan di dalam kotak penalti oleh Muhammad Syazwan Andik Mohd Ishak dan pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali tidak teragak-agak memberikan penalti.

Lima minit bersambung babak kedua, Emmanuel Essigba menjaringkan gol penyamaan selepas menewaskan penjaga gol tuan rumah, Mamadou Samassa.

Pada minit ke-70, Samassa tewas buat kali kedua selepas rembatan pemain gantian, Mohamad Hasbullah Abu Bakar dari luar kotak penalti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2022 @ 12:43 AM