PEMAIN KDA FC, Ronald Ngah diasak dua pemain PSM Makassar.
PEMAIN KDA FC, Ronald Ngah diasak dua pemain PSM Makassar.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Di sebalik tumpas di peringkat separuh akhir Zon Asean Piala AFC 2022 ternyata sebenarnya terdapat aspek membanggakan buat Kedah Darul Aman (KDA) FC terutamanya mampu melangkah sejauh itu walaupun pasukan terbabit boleh dikatakan serba kekurangan.

Aidl Sharin Sahak berkata, banyak perkara dapat dipelajari barisan pemain KDA FC terutama dalam mengharungi baki aksi domestik musim ini.

"Pada mulanya, tiada meletakkan harapan kepada kita untuk mara sehingga ke separuh akhir tetapi pemain saya membuktikan kita mampu. Tiada apa lagi yang boleh saya minta daripada mereka.

"Jadi harapnya kita ada rezeki (ke Piala AFC) musim seterusnya dan kita akan jadi lebih baik," katanya.

Terdahulu, perjuangan skuad Kenari di pentas Piala AFC terhenti di separuh akhir Zon Asean apabila tewas 1-2 di tangan PSM Makassar di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Bali, Indonesia.

Tuan rumah mendahului menerusi jaringan Yakob Sayuri (m31) dan Yuran Fernandes (m54) sebelum Fayadh Zulkifli mengurangkan defisit pada minit ke-86 ke atas lawan yang menamatkan perlawanan dengan sembilan pemain.

Mengulas mengenai aksi anak buahnya, Aidil mengakui babak pertama tidak begitu menjadi namun dia percaya mereka sudah memberikan yang terbaik pada aksi penentuan itu.

"Banyak yang perlu kita belajar apatah lagi sudah lama pasukan ini tidak beraksi di Piala AFC. Komunikasi kita tidak begitu baik pada separuh masa dan mereka menjaringkan gol pertama yang mudah.

"Kita cuba bangkit pada separuh masa kedua tetapi lebih sukar menentang lawan yang kehilangan seorang pemain kerana mereka akan lebih banyak bertahan.

"Tetapi saya tahu pemain berjuang sehingga wisel penamat dan saya hargai kerja keras mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2022 @ 2:48 PM