PASUKAN Sungai Tiang meraikan kemenangan selepas bergelar juara pada kejohanan Widad K-League 2022 Piala Menteri Besar Kedah di Stadium Darul Aman semalam. FOTO IZZALI ISMAIL
PASUKAN Sungai Tiang meraikan kemenangan selepas bergelar juara pada kejohanan Widad K-League 2022 Piala Menteri Besar Kedah di Stadium Darul Aman semalam. FOTO IZZALI ISMAIL
Izzali Ismail


Alor Setar : Pasukan Sungai Tiang mencetuskan inspirasi baharu dalam pembangunan bola sepak Kedah apabila muncul juara pada kejohanan Widad K-League 2022 Piala Menteri Besar Kedah selepas menewaskan Pengkalan Kundur 1-0 pada aksi perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Darul Aman semalam.

Pada perlawanan akhir ini, satu gol yang dihasilkan oleh ketua pasukan Sungai Tiang Abdullah Yusof pada minit ke-40 perlawanan meletakkan pasukan itu sebagai jaguh kejohanan sekali gus menjadi pasukan terbaik dikalangan 35 pasukan yang disenaraikan bertanding dalam kejohanan yang bermula sejak Jun lalu.

Menurut Ketua Jurulatih Sungai Tiang Mohd Zulkifli Jaafar, sebelum bergelar juara, skuadnya telah diberi tentangan yang cukup sengit oleh pasukan-pasukan yang menentang mereka sejak bermulanya saingan pada bulan Jun lalu.

"Laluan kami untuk ke pentas akhir juga tidak mudah kerana perlawanan permulaan kami sekadar seri dan begitu juga perlawanan kedua kami di mana ramai yang menjangkakan kami akan tewas.

"Namun berkat kesungguhan, kami berjaya bangkit dengan kemenangan perlawanan ketiga dan muncul juara kumpulan dan disusuli kemenangan seterusnya hingga ke perlawanan akhir.

"Saya bersyukur diatas pencapaian ini dan saya memuji usaha dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh semua pemain yang mengikut arahan serta perancangan yang kami terapkan hingga kami berjaya melangkah ke perlawanan akhir dan akhirnya menjadi juara," katanya.

Sementara itu Ketua Jurulatih Pengkalan Kundur Abdul Hadi Salleh tetap berbangga dengan pemain-pemainnya yang rata-rata pemain muda dan turun beraksi dengan mentaliti kemenangan sejak kejohanan ini bermula.

Saya tidak kecewa sebab walaupun gagal mendapat piala pada hari ini kerana bagi saya, saya mahukan pembangunan yang baik untuk semua pemain lebih-lebih lagi kami memiliki enam pemain di bawah 20 tahun dalam aksi final ini dan bagi saya, ianya satu pencapaian yang sangat bagus dan berguna kepada mereka.

Mereka tetap 'juara' sebenarnya pada saya tetap percaya dengan apa yang mereka idamkan dapat dicapai melalui platform ini dan mereka masih peluang untuk beraksi lagi dalam liga KFA selepas ini." katanya.

Juara kejohanan ini membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 berserta piala dan medal sementara naib juara pula menerima wang tunai RM5,000 yang disampaikan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Kejohanan yang mendapat penajaan utama dari Widad Langkasuka serta penajaan bersama oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan Lotto dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kedah ini juga menampilkan hampir 1,000 pemain muda berbakat yang didaftarkan mewakili pasukan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Kejohanan ini juga telah dapat memberi suntikan terbaik dalam melahirkan lebih ramai bakat muda dalam arena pembangunan bola sepak Kedah yang sebelum ini agak suram tanpa kejohanan di peringkat daerah seluruh negeri Kedah.

Kesemua pasukan yang bertanding dalam kejohanan ini ialah Kuah, Kota Siputeh, Merbau Pulas, Bukit Kayu Hitam, Jitra, Pengkalan Kundur, Kuala Nerang, Pedu, Bukit Pinang, Pantai Merdeka, Suka Menanti, Bukit Lada, Alor Mengkudu, Kubang Rotan, Tokai, Sungai Tiang, Sungai Limau, Kota Darul Aman, Gurun, Belantek, Jeneri, Bukit Selambau, Tanjung Dawai, Anak Bukit, Bakar Arang, Sidam, Bayu, Kupang, Kuala Ketil, Derga, Ayer Hitam, Lunas, Kulim, Bandar Baharu dan Guar Chempedak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2022 @ 3:34 PM