Durakovic (kiri) bersama penolongnya, P Maniam dan Anuar Abu Bakar (kanan) pada sesi latihan. Foto NSTP/Osman Adnan
Durakovic (kiri) bersama penolongnya, P Maniam dan Anuar Abu Bakar (kanan) pada sesi latihan. Foto NSTP/Osman Adnan

Shah Alam: Naib juara Liga Super Selangor dan juara Liga Premier Kedah meletakkan harapan tinggi kepada para pemain apabila kedua-dua pasukan bertemu pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, di sini, malam esok.

Ketua jurulatih Selangor Mehmet Durakovic berkata beliau yakin dengan peluang pasukan Red Giants memenangi piala berprestij itu untuk kali ke-33, sekali gus menamatkan kemarau 10 tahun sejak kali terakhir memenanginya pada 2005 melalui kemenangan 3-0 ke atas Perlis di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Bagaimanapun beliau tetap berwaspada dengan kemampuan pasukan Kedah yang berhasrat membawa balik piala berkenaan yang kali terakhir dimenangi pada 2008 dengan menewaskan pasukan Red Giants 3-2, di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

"Kami akan melakukan yang terbaik di depan keluarga dan penyokong dengan mempamerkan permainan terbaik di atas padang. Perlawanan ini pasti sukar kerana kami mempunyai peluang setara untuk menang.

"Jika taktik betul dan pemain kurang melakukan kesilapan selain memberi memberi tumpuan kepada perlawanan, saya sangat yakin kami boleh menang Piala Malaysia," katanya pada sidang media menjelang perlawanan akhir, di sini hari ini.

"Jika kami menang sudah pasti ia (pencapaian) terhebat untuk saya sebagai jurulatih. Kemenangan itu juga menjadi hadiah sangat bermakna kepada Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah) yang menyambut hari keputeraan ke-70," kata bekas pemain pasukan kebangsaan Australia pernah menjulang Piala Malaysia tiga kali ketika bersama Selangor pada 1995, 1996 dan 1997.

Sementara itu pemangku ketua jurulatih Kedah, Ramon Marcote berkata pasukannya tidak menghadapi tekanan menjelang perlawanan akhir esok kerana mereka sudah menjuara Liga Premier.

"Selepas menang Liga Premier musim ini tahap keyakinan pasukan kami sangat tinggi untuk persaingan Piala Malaysia ini dan sudah pasti kami sangat gembira dapat masuk ke akhir.

"Kami hadir di sini untuk menikmati permainan, kami tidak tertekan dan sudah pasti kami mahu memenangi Piala Malaysia musim ini," kata bekas penolong jurulatih kelab Sepanyol, Atletico Madrid itu.

Pada masa sama Marcote yang lebih mesra dengan panggilan Marco di kalangan pemain menolak laporan media yang mendakwa para pemain Helang Merah menghadapi kesukaran untuk memahami arahannya semasa sesi latihan berikutan beliau tidak fasih berbahasa Inggeris.

"(Saya mengaku) para pemain dan saya tidak fasih bahasa Inggeris tetapi mereka boleh memahami arahan saya. Sejak hari pertama bersama pasukan selepas Tan (Tan Cheng Hoe, Ketua Jurulatih Kedah) pergi China, tiada perubahan," jelasnya.

Kedah bakal menerima suntikan baharu yang mengukuhkannya apabila Tan yang mengikuti kursus kejurulatihan lanjutan lesen A di China sejak Nov lalu kembali bersama pasukan berkenaan, malam ini.

Sebagai rekod kedua-dua pasukan pernah bertarung di akhir Piala Malaysia 2008 yang menyaksikan kemenangan dramatik pasukan Kedah. Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2015 @ 6:58 PM