AKSI pemain Sabah ketika menentang PJ City.
AKSI pemain Sabah ketika menentang PJ City.
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Sabah FC enggan memandang rendah terhadap kemampuan Melaka United FC (MUFC) pada saingan Liga Super selepas pasukan itu menunjukkan prestasi cukup baik sejak kebelakangan ini.

Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, MUFC juga kini dilihat turut mempamerkan corak permainan yang berbeza selain mempunyai pemain import berkualiti.

"Melaka United jika dilihat kebelakangan ini menunjukkan prestasi cukup baik bukan sahaja daripada segi keputusan tetapi corak permainan yang berbeza.

"Kita tahu barisan pemain mereka terutamanya pemain import merupakan pemain cukup berkualiti.

"Seperti saya katakan daripada awal musim semua perlawanan amat penting bagi kita dan tiada beza pun apabila kita bermain dengan MUFC ini di mana kita perlu berada dalam tahap terbaik untuk memastikan kita tidak kehilangan mata," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sabah FC akan bertemu MUFC pada saingan Liga Super 2022 di Stadium Likas malam esok.

Dalam pada itu, Kim Swee berkata, Sabah FC dijangka akan mengekalkan barisan pemain yang diturunkan ketika menentang Petaling Jaya (PJ) City FC Selasa lalu.

Katanya, semua pemain telah menunjukkan prestasi mantap terutama daripada segi persembahan pada separuh masa kedua.

"Semua mereka mengikut arahan dan paling positif adalah mereka menunjukkan semangat juang cukup tinggi walaupun ketinggalan pada separuh masa pertama, mereka bangkit dengan bermain lebih baik dan mendapatkan dua gol untuk memastikan kita pulang dengan tiga mata," katanya.

Beliau percaya barisan pemain yang diturunkan mampu menggalas tugas sebaiknya bagi menggantikan beberapa pemain yang mengalami kecederaan.

"Pemain-pemain seperti Jackson (De Sauza); Park (Taesu); Dominic (Tan) termasuk Rizal Ghazali masih lagi mengalami kecederaan manakala Baddrol Baktiar masih belum pulih daripada kesihatan.

"Ini pasti akan memberi sedikit kelonggaran di beberapa bahagian namun pemain yang diturunkan ketika menentang PJ City membuktikan mereka mampu dan saya percaya mereka mampu menggalas tugas jika mereka diberikan kepercayaan lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Julai 2022 @ 10:19 PM