Daniel Ting dijangka tidak diturunkan Sabah FC untuk berdepan Negeri Sembilan FC di Stadium Likas. -FOTO Ihsan Sabah FC
Daniel Ting dijangka tidak diturunkan Sabah FC untuk berdepan Negeri Sembilan FC di Stadium Likas. -FOTO Ihsan Sabah FC
Oleh Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sabah FC dijangka beraksi tanpa dua tonggak utama dalam misi memburu tiga mata berdepan Negeri Sembilan FC pada saingan Liga Super di Stadium Likas, malam ini.

Dua pemain terbabit, Daniel Ting dan Darren Lok terpaksa dikeluarkan daripada senarai kesebelasan utama kerana belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan selepas perlawanan sebelum ini.

Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee berkata, berikutan itu beberapa pemain lain bakal mengisi kekosongan posisi Daniel dan Darren bagi memastikan Sabah FC dapat mengutip tiga mata penting.

Walaupun tanpa dua tonggak terbabit, katanya Sabah FC tidak menghadapi masalah besar berikutan ada beberapa pemain lain bersiap sedia untuk menggalas tugas penting kepada pasukan.

"Seperti biasa, kita membuat persiapan rapi di mana pemain telah diberikan masa untuk berehat secukupnya selepas perlawanan menentang Kuching City FC.

"Namun, kemungkinan terdapat barisan pemain yang berlainan akan diturunkan. Tapi apa yang pasti kita akan pastikan berjaya mengutip tiga mata penting," katanya.

Kim Swee berkata, Sabah FC perlu mencatat kemenangan penting terutama beraksi di laman sendiri sekali gus mengembalikan keyakinan penonton terhadap mereka.

Sabah FC ketika ini berada di tangga keempat carta liga selepas mengumpul 39 mata menerusi 21 perlawanan, berada di belakang Kedah Darul Aman (KDA) FC yang mengumpul 43 mata dalam 20 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2023 @ 1:15 PM