PEMAIN Sabah gigih menjalani latihan. FOTO Sabah FC
PEMAIN Sabah gigih menjalani latihan. FOTO Sabah FC
BERNAMA

Kota Kinabalu: Prestasi cemerlang pemain veteran, Mohd Amri Yahyah menjadi taruhan utama Sabah FC menjelang pertemuan menentang Kelantan United FC dalam saingan pusingan kedua Piala FA di Stadium Likas di sini, malam esok.

Ketua jurulatihnya Datuk Ong Kim Swee berkata Amri dan pemain-pemain lain akan menggalas tugas penting selepas pemain import Neto Pessoa masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan kemungkinan besar tidak diturunkan.

"Ketika ini kecergasan para pemain Sabah FC berada pada tahap cemerlang serta fokus kepada perlawanan penting dengan memastikan dapat memperoleh keputusan baik malam esok.

"Kita anggap perlawanan malam esok sangat penting meskipun semua maklum pasukan Kelantan United FC kini bermain dalam Liga Premier namun Sabah FC tidak boleh mengambil mudah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata apabila sebuah pasukan Liga Premier menentang pasukan Liga Super seperti Sabah FC, pasukan itu akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mempamerkan mutu persembahan terbaik sekali gus ingin membuktikan mereka juga boleh bersaing dengan kelab-kelab Liga Super di negara ini.

"Kita tidak mahu pemain Sabah FC mengambil mudah perlawanan malam esok, mereka perlu menunjukkan kesungguhan lebih-lebih lagi apabila bermain di gelanggang serta di hadapan penyokong sendiri," katanya.

Selain itu, Kim Swee berkata Sabah FC akan kehilangan khidmat pemain import sensasi Saddil Ramdani kerana kini bersama-sama pasukan Indonesia dalam kejohanan Sukan Sea yang berlangsung di Hanoi, Vietnam.

"Namun begitu kesebelasan utama hanya akan kita ditentukan sebelum sepak mula malam esok. Jangan risau kita mempunyai banyak pilihan pemain, kita harus memikirkan beberapa faktor serta tujuan bermain bagi memastikan Sabah FC dapat melangkah ke peringkat seterusnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2022 @ 11:29 PM