LEWANDOWSKI bersama trofi miliknya di Geneva. FOTO AFP
LEWANDOWSKI bersama trofi miliknya di Geneva. FOTO AFP
AFP

Geneva: "Satu perasaan yang sangat hebat kerana anda bekerja keras, jadi trofi ini sangat istimewa,'' kata Robert Lewandowski selepas dipilih Pemain Lelaki Terbaik Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) susulan prestasi cemerlang ketika membantu Bayern Munich menjuarai 'treble' musim lalu.

Lewandowski menerima anugerah di Geneva ketika sesi undian peringkat kumpulan Liga Juara-Juara semalam, beberapa minggu selepas Bayern menjuarai edisi 2019/20.

Penyerang Poland itu yang menjaringkan 55 gol dalam 47 perlawanan bagi membantu Bayern menjuarai Bundesliga dan Piala Jerman mengatasi saingan rakan sepasukan Manuel Neuer dan bintang Manchester City, Kevin de Bruyne untuk memenangi anugerah itu.

"Saya berterima kasih kepada rakan sepasukan dan jurulatih yang banyak membantu saya sehingga ke tahap ini. Juga kepada keluarga yang memberi sokongan padu.''

Lewandowski turut dinobatkan penyerang terbaik musim lalu selepas menjaringkan 15 gol dalam 10 perlawanan Liga Juara-Juara. Dia meledak empat gol dalam tempoh 14 minit ketika menentang Red Star Belgrade.

Pemain berusia 32 tahun itu turut muncul penjaring terbanyak Bundesliga musim lalu dengan 34 gol dan ia kali kelima sejak berpindah dari Borussia Dortmund pada 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2020 @ 8:16 AM