REAKSI Aidil (dua kanan) pada perlawanan Liga Super menentang  Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO Ghazali Kori
REAKSI Aidil (dua kanan) pada perlawanan Liga Super menentang  Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pengendali Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Aidil Sharin Sahak enggan menyalahkan pemainnya walaupun gagal mengutip sebarang mata berdepan Terengganu FC (TFC) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam tadi.

Bagaimanapun jurulatih kelahiran Singapura itu akui ketumpulan penyudah antara faktor pasukannya tewas 1-2 di tangan TFC selain anak buahnya gagal beraksi dengan baik terutama pada babak pertama sehingga mengulangi kesilapan mudah ketika bertahan.

"Pemain mula mempamerkan corak permainan tersusun selepas bermulanya separuh masa kedua dengan kerap mengasak kubu tuan rumah selepas tidak beraksi dengan baik pada awal permainan dengan melepaskan gol mudah sama seperti minggu lalu berdepan TFC dalam aksi Piala FA.

"Pemain juga dilihat gagal mengawal ketat pergerakan Kpah Sherman terutama dalam kotak penalti, namun segalanya berubah selepas tiga pertukaran dibuat. Corak permainan mereka lebih bagus berbanding tuan rumah dengan penguasaan bola dan peluang terhidang dimiliki.

"Jika mereka berjaya melaksanakan peluang itu dengan sebaik mungkin, keputusan mungkin memihak kepada kami, namun dalam bola sepak, jika kita gagal memanfaatkan peluang itu, pasukan akan tewas.

"Tapi saya tidak meletakkan kesalahan kepada pemain kerana mereka sudah berusaha di tambah pula lapan pemain kurang sihat dan bukan mudah beraksi di tempat lawan selepas pulang dari Indonesia," kata Aidil Sharin.

Dalam perlawanan itu, penyerang sensasi TFC, Kpah Sherman membuka tirai jaringan pasukannya pada babak pertama sebelum rakan sepasukannya, Manuel Ott meledak jaringan kedua pada separuh masa kedua manakala gol saguhati skuad Kenari dijaringkan penyerang berpengalaman, Azammuddin Akil pada masa kecederaan.

Mengulas dua kekalahan berturut-turut kepada TFC, Aidil akui bukan mudah beraksi di tempat lawan dalam dua perlawanan berturut-turut, bagaimanapun beliau menuntut anak buahnya bangkit pada aksi seterusnya menentang Sarawak United FC (SUFC).

"Sudah pasti tiga mata menjadi matlamat kami selepas ini terutama beraksi di tempat sendiri, saya harap pemain dapat mengambil peluang itu dengan sebaik mungkin bagi mengelak keciciran mata lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2022 @ 12:24 PM