SHERMAN ( tiga dari kiri) antara pemain yang gagal menyempurnakan peluang menghasilkan lebih banyak jaringan di Stadium Darul Aman. FOTO AMRAN HAMID
SHERMAN ( tiga dari kiri) antara pemain yang gagal menyempurnakan peluang menghasilkan lebih banyak jaringan di Stadium Darul Aman. FOTO AMRAN HAMID

Izzali Ismail

KETUA Jurulatih Kedah Aidil Sharin Sahak nyata kecewa diatas kegagalan skuadnya yang gagal mengutip tiga mata pada aksi pertama Liga Super dilaman sendiri selepas tewas 3-4 kepada Terengganu FC (TFC) semalam.

Menurutnya, Lang Merah gagal memanfaatkan banyak peluang yang terhidang yang sepatutnya mampu menghasilkan gol sepanjang perlawanan.

“Kita boleh lihat banyak peluang keemasan yang hadir melalui percubaan yang dilakukan oleh Hadin Azman, Kipre Tchetche dan Kpah Sherman hampir mencipta gol.

“Cuma yang mengecewakan kita adalah apabila semua percubaan itu gagal menghasilkan gol dan perkara ini sangat jarang berlaku.

“Inilah pengalaman pahit dan kita perlu ambil pengajaran di atas kekalahan yang kita alami malam ini,” katanya.

Aidil bagaimanapun tidak menyalahkan mana-mana pemain dan mengakui skuadnya sudah melakukan usaha yang terbaik dan menganggap tuah tidak menyebelahi skuadnya.

“Saya tidak menyalahkan mana-mana pemain kerana semua berusaha dengan penuh semangat dan bersungguh-sungguh mungkin ini bukan malam buat kami kerana banyak peluang tidak menjadi untuk menghasilkan gol.

“Jika gol ‘menjadi’ pada perlawanan ini saya rasa mungkin kita akan mendapat ‘cerita’ yang berlainan berkaitan keputusan dan saya juga mahu mengucapkan tahniah kepada TFC yang bangkit dengan kesungguhan untuk memburu kemenangan,” katanya.

Pada masa yang sama Aidil menganggap kekalahan ini sebagai satu ujian dan beliau turut yakin skuadnya mampu bangkit dengan rentak permainan terbaik selepas ini memandangkan aksi Liga Malaysia ini masih panjang.

“Perjalanan liga masih panjang dan kita tidak boleh mudah berputus asa kerana ada pasukan yang tidak bermula dengan baik tapi kembali bangkit dipertengahan hingga ke hujung liga.

“Dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku dan apa yang perlu kita lakukan adalah bangkit di perlawanan seterusnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2020 @ 11:06 AM