PEMAIN tengah menyerang berbakat, Fabio Vieira menyertai Arsenal dari Porto. FOTO REUTERS
PEMAIN tengah menyerang berbakat, Fabio Vieira menyertai Arsenal dari Porto. FOTO REUTERS
AFP

London: Arsenal melengkapkan perpindahan pemain tengah Porto, Fabio Vieira dengan perjanjian AS$42 juta (RM184.78 juta), hari ini.

Pemain berusia 22 tahun itu dianggap antara bintang muda berbakat besar di Eropah yang lahir daripada sistem pemain remaja kelab Portugal itu.

Dia memainkan peranan penting membantu Porto memenangi dua gelaran domestik musim lalu apabila menjaringkan tujuh gol dan 16 bantuan jaringan dalam semua kejohanan.

Sambil memuji pemain ketiga ditandatangani Arsenal pada jendela perpindahan kali ini, pengurus Gunners, Mikel Arteta berkata: "Saya teruja apabila kami mengesan dan menandatangani bakat istimewa seperti ini.

"Fabio adalah pemain sangat kreatif yang akan memberikan kualiti dan pelbagai gaya dalam corak serangan kami."

Minggu lalu, Porto berkata, Vieira yang dipilih pemain terbaik di Kejohanan Eropah Bawah 21 Tahun pada tahun lalu, mungkin berpindah ke London selepas kedua-dua kelab sudah mencapai persetujuan awal.

Arsenal tidak mendedahkan tempoh kontrak pemain itu, tetapi kenyataan Porto menyebut Viera akan menandatangani kontrak selama lima tahun.

Arteta mahu menambah kreativiti di bahagian tengah selepas Arsenal gagal merebut slot untuk kembali ke Liga Juara-Juara Eropah, musim lalu.

Pengarah teknikal kelab itu, Edu berkata, Fabio adalah pemain dengan kualiti istimewa dan selesa dengan bola di suku ketiga padang.

Arsenal yang menamatkan kempen di tangga kelima Liga Perdana Inggeris musim lalu sudah menandatangani penyerang Brazil berusia 19 tahun, Marquinhos dari Sao Paulo dan penjaga gol Amerika Syarikat, Matt Turner.

Pemain tengah Leicester, Youri Tielemans turut dikaitkan dengan perpindahan ke Emirates.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2022 @ 9:29 AM