SETIAUSAHA Agung AFC, Datuk Seri Windsor John. FOTO AFC
SETIAUSAHA Agung AFC, Datuk Seri Windsor John. FOTO AFC
BERNAMA

Kuala Lumpur: Satu mesyuarat antara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persatuan Bola Sepak Qatar (QFA) akan diadakan dari 6 hingga 7 Februari depan di Doha, Qatar untuk menentukan tarikh Piala Asia 2023.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor John berkata, mesyuarat itu akan disertai wakil daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) yang akan memuktamadkan venue dan tarikh undian peringkat kumpulan yang membabitkan 24 pasukan.

"Kami kesuntukan masa, kami menyasarkan untuk menyelesaikan semua perkara penting berkenaan Piala Asia dalam mesyuarat dua hari yang dihoskan Qatar bulan depan.

"Yang pasti, Piala Asia 2023 akan berlangsung pada Januari 2024," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada majlis akreditasi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selaku pusat kecemerlangan perubatan AFC, di sini, hari ini.

Oktober lalu, AFC mengumumkan Qatar yang menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022, baru-baru ini, memenangi bidaan untuk menganjurkan Piala Asia 2023, menggantikan China.

China yang sepatutnya menjadi tuan rumah untuk kejohanan 24 pasukan itu dari 16 Jun sehingga 16 Julai tahun ini di 10 bandar raya menarik diri daripada menjadi tuan rumah atas alasan 'keadaan luar biasa disebabkan pandemik Covid-19'.

Juara bertahan, Qatar yang menjulang piala itu buat julung kalinya selepas menewaskan Jepun 3-1 dalam edisi 2019, pernah menjadi tuan rumah pada 1988 dan 2011.

Sementara itu, John yang mengalu-alukan PPUM sebagai ahli ketiga pusat kecemerlangan perubatan AFC selepas Institut Sukan Negara (ISN) dan Pusat Perubatan Sukan Kuala Lumpur, mengucapkan terima kasih kepada PPUM kerana menyokong misi serta wawasannya untuk menjaga dan mempromosi penjagaan kesihatan pemain bola sepak.

"Perkongsian kami menampilkan permulaan satu lagi bab penambahbaikan tahap perubatan sukan di rantau ini dan komitmen PPUM adalah penting untuk ini," kata beliau.

Pada masa sama, Pengarah PPUM Prof Dr Nazirah Hasnan yang bangga dengan pengiktirafan itu percaya kepakaran dan pengalaman mereka dalam mengendalikan beberapa kelab bola sepak tempatan seperti Selangor FC dan Perak FC lebih daripada mencukupi untuk menjadikan perkongsian bersama AFC berjaya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Perubatan Kesukanan PPUM, Prof Madya Dr Mohd Nahar Azmi Mohamed berkata, pengiktirafan ini sudah tentunya membantu mereka mengumpulkan lebih banyak data berkenaan isu kesihatan pemain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2023 @ 9:48 PM