ANDREJ Kramaric (kiri) cuba melepasi pertahanan Belgium,  Thomas Vermaelen. FOTO EPA
ANDREJ Kramaric (kiri) cuba melepasi pertahanan Belgium, Thomas Vermaelen. FOTO EPA
AFP

Paris: Belgium dan Belanda melengkapkan persiapan Euro 2020 dengan mencatat kemenangan ke atas Croatia dan Georgia.

Belgium yang juga pasukan nombor satu dunia, menumpaskan naib juara Piala Dunia 2018 1-0 hasil jaringan separuh masa pertama Romelu Lukaku.

Pasukan bimbingan Roberto Martinez adalah salah satu negara pilihan untuk muncul juara dan diundi dalam Kumpulan B bersama Denmark, Finland da Russia.

Lukaku hampir membuka jaringan pada minit ke-31 hasil rembatan lencong namun ia terkena palang dan tindakan susulan Yannick Carraso juga tersasar.

Bagaimanapun, dia meletakkan pasukannya di depan tujuh minit kemudian selepas berlaku keadaan kelam-kabut di dalam petak penalti Croatia dan ia adalah jaringan ke-60 buatnya di peringkat antarabangsa.

Belanda pula mudah untuk mencatat kemenangan 3-0 ke atas Georgia.

Pasukan bimbingan Frank de Boer akan cuba untuk memberikan impak besar dalam kejohanan utama sejak Piala Dunia 2014 dan diundi dalam Kumpulan C bersama Ukraine, Austria serta Macedonia Utara di Amsterdam.

Mereka mendahului pada minit ke-10 melalui sepakan penalti Mephis Depay dan penyerang Lyon itu kurang bernasib baik untuk menambah gol kedua enam minit kemudian selepas percubaannya diselamatkan Giorgi Loria.

Loria sekali lagi melakukan aksi tangkas sebelum rehat apabila menyelamatkan percubaan jarak jauh Frenkie de Jong yang menuju ke bucu kanan gawangnya.

Wout Weghorts berjaya meledak gol kedua 11 minit selepas perlawanan bersambung selepas menerima hantaran Depay sebelum melakukan percubaan jarak dekat.

Loria meneruskan aksi cemerlang selepas menyelamatkan percubaan Depay di depan petak penalti namun dia gagal menghalang percubaan Ryan Gravenberch tatkala perlawanan berbaki 14 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 10:56 AM