SENG Zoe berhati-hati dengan Holst.
SENG Zoe berhati-hati dengan Holst.
Ferzalfie Fauzi


BEKAS pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Yeoh Seng Zoe mengakui perlu berhati-hati menentang Emil Holst menjelang aksi pusingan kedua Terbuka Scotland, awal pagi esok selepas melepasi pusingan kelayakan dan pertama dengan cemerlang, semalam.

Menurut pemain berusia 20 tahun itu, walaupun pemain Denmark itu memiliki ranking jauh lebih baik iaitu 39 berbanding dirinya yang berada di tangga 530, dia berjanji akan tampil memberikan tentangan sengit.

“Menang atau kalah perkara kedua. Apa yang penting, saya harap mampu memberikan persembahan terbaik,” katanya yang membenam cabaran Sahil Sipani dari India, 21-13, 21-12 pada pusingan pertama.

Jelas pemain Akademi AirAsia itu, semangatnya memuncak apabila melepasi pusingan kelayakan dengan menewaskan wakil tuan rumah, Jack Macgregor 21-10, 21-15 sebelum menjinakkan pemain England, Alexander Cook 21-10, 21-9 untuk mara ke undian utama.

“Saya sudah mendapat rentak permainan dan menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang,” katanya yang juga akan beraksi dalam beregu lelaki bersama Chen Jia Huo menentang pilihan ketiga dari England, Peter Briggs-Tom Wolfenden.

Turut mara ke pusingan kedua ialah seorang lagi pemain profesional negara, Alfred Lau dan dia akan menentang Henri Aarnio dari Finland.

Lau yang berusia 22 tahun juga akan bergandingan bersama kembarnya, Adam menentang pasangan Russia, Konstantin Abramov-Alexandr Zinchenko.

Turut beraksi esok bekas pemain perseorangan wanita negara, Lyddia Cheah yang akan berpasangan dengan Yang Li Lian menentang Ekaterina Bolotova-Alina Davletova dari Russia dalam acara beregu wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 9:06 PM