TORRES (kiri) meraikan jaringan yang dihasilkannya untuk membantu City mencatatkan kemenangan. FOTO AFP
TORRES (kiri) meraikan jaringan yang dihasilkannya untuk membantu City mencatatkan kemenangan. FOTO AFP
AFP

Manchester: Pep Guardiola yakin Manchester City di landasan tepat untuk kembali mencabar Liverpool bagi perebutan gelaran juara Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan Newcastle 2-0, awal pagi tadi.

Kemenangan itu menyaksikan City melonjak ke tangga kelima dan hanya dipisahkan lima mata dengan Liverpool yang berada di kedudukan teratas liga.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Etihad itu, Ilkay Gundogan membuka tirai jaringan seawal babak pertama sebelum Ferran Torres menambah gol kedua pada separuh masa kedua sekali gus menyaksikan City mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 10 perlawanan.

Kekurangan jumlah gol dalam satu perlawanan bukanlah sesuatu yang pelik buat City musim ini tetapi di sebalik itu mereka mempunyai rekod pertahanan yang cukup baik untuk membolehkan pasukan berkenaan kembali bersaing merebut gelaran juara liga.

City merekodkan lapan aksi tanpa bolos dalam 10 perlawanan setakat ini.

"Ia adalah keputusan yang agak pelik untuk semua. Musim ini adalah mengenai untuk menjadi tenang dalam keadaan baik atau buruk. Saya dapat merasakan prestasi kami semakin meningkat," kata Guardiola.

Guardiola terpaksa melupakan khidmat Kyle Walker dan Gabriel Jesus dalam perlawanan itu selepas kedua-dua pemain disahkan positif Covid-19 selain dua lagi kakitangan pasukan berkenaan.

Bagaimanapun, ketiadaan Walker dan Jesus dijangka lebih dirasai aksi seterusnya apabila City berkunjung ke Everton, awal pagi Selasa ini dan bertemu Chelsea minggu depan.

Kedua-dua perlawanan itu akan menjadi ujian sebenar buat City dalam misi mencabar Liverpool di tangga teratas.

"Kami bermain dengan tempo yang kami mahukan. Kami adalah pasukan yang perlu melakukan banyak hantaran, bukannya berlari terlalu banyak dan melakukan serangan pada waktu yang tepat. Corak permainan kami hari ini sangat sempurna.

"Malangnya, kami tidak mampu menjaringkan lebih banyak gol tetapi ia tetap keputusan yang baik dan tiga mata. Kami tidak banyak masa untuk memikirkan mengenainya kerana dalam tempoh 45, 46 jam lagi kami akan kembali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Disember 2020 @ 10:08 AM