SYUKRI (hijau) ketika Melaka berdepan Sabah FC. FOTO Ihsan MU
SYUKRI (hijau) ketika Melaka berdepan Sabah FC. FOTO Ihsan MU
Nazri Abu Bakar


Melaka: Pemain tengah Melaka United (MU), Mohd Syukri Baharun lega kecederaan panjang yang dialami sudah berakhir dan kini sedia beraksi bersama skuad berkenaan.

Baginya, kerungsingan akibat kecederaan groin yang dialami sudah tamat dan dia kini berazam berada dalam kesebelasan pasukan untuk menyumbang kejayaan skuad berkenaan.

Mohd Syukri berkata, dia yang cedera namun tidak sabar beraksi turut diberi peluang bermain berdepan pasukan kelahiran Sabah FC kira-kira 30 minit di pentas Liga Super sebelum terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan yang dialami yang menyebabkannya tidak mampu untuk menyepak bola.

Katanya, dia juga hanya sempat beraksi beberapa minit ketika bertemu Penang FC dan selebihnya kecederaan dialami menghalang hasratnya untuk diberi tugasan.

"Apapun kini saya sudah pulih dan bersedia untuk diturunkan ketika berdepan Kedah Darul Aman (KDA FC) pada 6 September depan di Alor Setar.

"Jika ruang yang diberikan jurulatih sudah pasti saya mahu memberikan yang terbaik bagi membantu jentera serangan dan pertahanan dalam perlawanan berkenaan. Namun apa yang penting sebagai pemain tengah saya perlu menghidupkan peranan yang diberikan," katanya.

Bekas pemain Sabah berkenaan juga begitu teruja dapat menyarung jersi skuad Hang Tuah selepas buat pertama kali meninggalkan Sang Badak.

Dia yang sempat pulang menyambut Aidilfitri di tempat kelahirannya di Kunak, Sabah berkata, kecederaan yang dialaminya amat menghantuinya namun kali ini dia mengharapkan tidak lagi berlaku musibah serius dalam sesi latihan dan perlawanan untuknya fokus kepada permainan.

Menurutnya, dia tetap menganggap Kedah sebagai pasukan yang sukar dijinakkan namun dengan prestasi longgar mereka ketika tewas kepada Sabah FC sebelum ini diharap mampu diambil kesempatan buat Melaka bagi meraih kemenangan.

Bagaimanapun, dia yakin Sang Kenari juga berazam untuk bangkit dari kekecewaan terbabit dengan memastikan Melaka berdepan masalah.

Justeru, momentum kemenangan ke atas Sri Pahang sekali lagi dituntut untuk membolehkan skuad Hijau Putih pulang ceria ke bumi Hang Tuah kelak.

Apapun pemain yang memiliki kreativiti tinggi yang baru berusia 23 tahun berkenaan nyata aset buat pasukan Hang Tuah bagi memastikan skuad terbabit mampu memperbaiki carta liga Super.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mei 2022 @ 2:51 PM