SYUKRI membuka lembaran baharu bersama Perak FC bawah bimbingan Teong Kim. FOTO FB PERAK FC
SYUKRI membuka lembaran baharu bersama Perak FC bawah bimbingan Teong Kim. FOTO FB PERAK FC
Nazri Abu Bakar


Melaka: Bekas pemain tengah Melaka United (MU), Mohd Syukri Baharun mengakui teruja menyertai Perak FC pada saingan Liga Super, musim ini.

Lebih bermakna buatnya apabila mendapat tunjuk ajar daripada legenda bola sepak negara, Lim Teong Kim selaku pengendali skuad itu, sekali gus membuka lembaran baharu buatnya.

Dia yang pernah dinobat pemain terbaik ketika mewakili skuad Hang Tuah berdepan Negeri Sembilan FC (NSFC) pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, musim lalu, kini jelas mahu memberikan yang terbaik buat skuad baharunya di bawah kendalian Teong Kim.

"Saya berbesar hati untuk hadir ke Perak FC kerana menerima bimbingan jurulatih memiliki nama besar dalam arena bola sepak tempatan dan antarabangsa. Apatah lagi dia pernah menjadi pembantu jurulatih bawah 19 tahun Bayern Munich.

"Buat masa sekarang sepanjang dia membawa pasukan The Bos Gaurus, jurulatih terbabit banyak mengajar perkara baharu mengenai bola sepak moden, selain membantu dari segi teknik individu kepada semua pemain untuk menjadi lebih baik," katanya.

Menurutnya, sasarannya kali ini adalah membantu Perak FC mencipta sesuatu yang positif dan cuba bersaing dengan semua pasukan di Liga Super.

Justeru, dia menganggap cabaran amat besar buatnya kerana harus menyesuaikan diri dengan semua rakan sepasukan, apatah lagi kebanyakan pemain Perak FC tahun ini dalam kalangan pemain muda.

Katanya, dia yakin dan percaya dengan kemampuan pasukan menerusi taktikal Teong Kim, walaupun Perak FC dibarisi ramai pemain muda pada musim ini.

Syukri pernah bersama skuad Piala Belia dan Piala Presiden Sabah sebelum dinaikkan pangkat ke skuad utama Sang Badak oleh ketua jurulatih ketika itu, Kurniawan Dwi Yulianto.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2023 @ 9:02 PM