SAARANI ketika sidang media  di Bilik Mesyuarat Pejabat Menteri Besar. FOTO Balqis Jazimah Zahari
SAARANI ketika sidang media di Bilik Mesyuarat Pejabat Menteri Besar. FOTO Balqis Jazimah Zahari
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Seramai 50 pemain dan pegawai bola sepak Perak FC menerima sumbangan duit raya sebanyak RM1,000 daripada kerajaan negeri Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia bagi membantu meringankan beban mereka sempena perayaan Aidilfitri yang bakal menjelang.

"Kita menyumbang sedikit duit raya kepada 50 pemain termasuk pegawai Perak FC. Ia sumbangan raya, yang mana kita memberi RM1,000 setiap seorang untuk perbelanjaan raya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Menandatangani Perjanjian Asas (Heads of Agreement) Built-To-Suit and Lease Antara Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dan Junjing Silicon Technology Sdn Bhd di Bilik Mesyuarat Pejabat Menteri Besar di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Saarani turut mengulas apabila ditanya pemberita tindakan penyokong bola sepak yang mengumpul tandangan untuk diserahkan kepada pihak istana bagi tujuan menarik perhatian berhubung isu gaji tertunggak melanda pasukan itu.

Saarani berkata, kerajaan negeri tidak menghalang penyokong untuk mengumpul tandatangan untuk diserahkan kepada pihak istana.

"Saya tidak boleh menghalang hasrat penyokong bola untuk berbuat demikian, cuma dia kena mengikut saluran yang betul..hendak sampaikan itu (tandatangan yang dikumpul) perlu melalui Setiausaha Sulit Sultan Perak. "Insya-Allah kalau warkah tersebut sampai kepada Tuanku Sultan, biasanya Tuanku akan membaca dan memberi perhatian sewajarnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2022 @ 3:33 PM