Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Sungai Siput: Barisan Nasional (BN) Perak yakin mampu menawan sekurang-kurangnya 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi membentuk kerajaan dengan jumlah majoriti mudah.

Pengerusinya, Datuk Seri Saarani Mohanad berkata, sasaran itu sebagaimana yang pernah terjadi pada PRU-13 pada 2013 apabila Umno berjaya menang 30 kerusi DUN, selain MCA yang turut berada dalam BN menang satu kerusi.

Bagaimanapun, Saarani berkata, bagi pentadbiran yang baik dan lancar, BN perlu menang sekurang-kurangnya 34 kerusi DUN biarpun BN secara dasar, perlu mensasarkan bilangan majoriti dua per tiga iaitu 40 kerusi 'ditawan' BN daripada keseluruhan 59 kerusi DUN di Perak.

"Jadi saya yakin kita boleh mengulangi benda (situasi) sama seperti 2013 sebab rakyat sudah belajar dan faham perlunya kerajaan yang kuat dan stabil," katanya kepada pemberita sewaktu program Majlis Sambutan Deepavali 2022 negeri Perak di Dewan Konvensyen Sungai Siput, di sini, hari ini.

Hadir Sama Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dan Ketua Umno Bahagian Sungai Siput, Datuk Mohd Zolkafly Harun.

SAARANI hadir pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali Peringkat Negeri Perak. FOTO L Manimaran.
SAARANI hadir pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali Peringkat Negeri Perak. FOTO L Manimaran.

Saarani berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai bilangan kerusi DUN yang disasarkan BN Perak untuk menang dalam PRU-15.

Dalam perkembangan sama, Saarani berkata, pihaknya mensasarkan 15 kerusi Parlimen dapat ditawan oleh BN pada PRU-15 ini termasuk masing-masing tiga kerusi yang dimenangi oleh BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu sebelum wakil rakyat di situ bertindak lompat parti; serta tiga kerusi yang kini disandang wakil rakyat Pakatan Harapan (PH).

"Sejarah pada PRU-14 lalu, kita menang 12 kerusi Parlimen termasuk tiga kawasan yang penyandangnya lompat parti iaitu Larut, Bukit Gantang, dan Bagan Serai; dan saya yakin pada PRU-15 ini kita dapat tawan Tanjung Malim, Lumut dan Tambun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2022 @ 8:38 PM