Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad hadir menyaksikan Majlis menandatangani perjanjian antara Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dan Professional Latex Sdn di Bilik Mesyuarat Pejabat Menteri Besar Perak di sini hari ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad hadir menyaksikan Majlis menandatangani perjanjian antara Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dan Professional Latex Sdn di Bilik Mesyuarat Pejabat Menteri Besar Perak di sini hari ini.
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Sebuah kilang sarung tangan getah bakal dibina di Kawasan Perindustrian Bemban II, Sungai Terap, Batu Gajah, di sini, dengan nilai pelaburan keseluruhan dianggarkan mencecah RM800 juta.

Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad berkata, projek berskala besar di atas tanah seluas 18.3 hektar yang dirangka melalui kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dan Professional Latex Sdn Bhd itu dijangka membuka 4,000 peluang pekerjaan baharu.

"Projek membabitkan lima fasa dalam tempoh 10 tahun dengan pelaburan bagi fasa pertama dijadual bermula dari 2023 hingga 2024 membabitkan nilai pelaburan sebanyak RM160 juta.

"Apabila siap sepenuhnya, kilang ini akan mempunyai 80 barisan pengeluaran dengan anggaran penghasilan 24 bilion sarung tangan dalam setahun," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara PKNPk dan Professional Latex, di sini, hari ini.

PKNPk diwakili Ketua Eksekutifnya Datuk Redza Rafiq Abdul Razak sementara Professional Latex diwakili Pengarah Eksekutifnya Lim Sin Kooi.

Saarani berkata, anggaran penghasilan sarung tangan itu berdasarkan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) norma baharu yang ditetapkan kerajaan.

Menurutnya, inisiatif itu selaras dengan Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030 yang meletakkan kerjasama pintar dalam memacu pertumbuhan ekonomi negeri sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan.

"Pelaburan ini bersifat strategik memandangkan penularan pandemik Covid-19 meningkatkan permintaan hasil industri berasaskan getah serta sektor yang berkaitan penjagaan kesihatan.

"Pasaran eksport bagi sarung tangan getah negara pada tahun ini dianggarkan mencecah 220 bilion unit, iaitu 67 peratus daripada permintaan dunia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Mei 2021 @ 4:39 PM