Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Sebanyak 27 anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) sudah ditutup dalam usaha menghentikan kerugian yang ditanggung oleh pengurusan badan berkanun terbabit terhadap anak syarikat yang tidak menunjukkan prestasi memuaskan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata angka itu diperoleh ketika beliau mula menjawat sebagai Menteri Besar pada Disember 2020.

Saarani berkata, justeru beliau tidak dapat menjawab mengenai rasional penubuhan anak serta 'cucu' syarikat terbabit yang kini dianggap sebagai suatu bebanan, memandangkan penutupan syarikat terbabit dibuat bermula sebelum beliau dilantik Menteri Besar.

"Apabila dilantik sebagai Menteri Besar, saya juga sudah mengambil tindakan dengan menutup beberapa anak syarikat yang kita dapati tidak 'perform' (prestasi tidak memuaskan) serta yang tidak menjalankan perniagaan sekali gus tidak dapat memberi sumbangan kepada kerajaan negeri.

"Malah, ia membebankan syarikat induk kerana terpaksa mengambil tanggungjawab membayar gaji dan lain-lain. Semua ini dilakukan bagi memberi peluang kepada syarikat induk yang benar-benar mempunyai perniagaan, bukan setakat mewujudkan anak syarikat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam program Majlis Perasmian dan Pelancaran Projek Piccadilly @ Greentown di sini, hari ini yang disempurnakan Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Dalam perkembangan berkaitan, Saarani berkata, kerajaan negeri mensasarkan unjuran sumbangan sebanyak RM100 juta daripada semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Perak menjelang 2030.

"Ini bermakna, semua GLC perlu melakukan perancangan teliti bagi setiap pembangunan projek yang dipertanggungjawab oleh kerajaan negeri .

"Setiausaha Kerajaan Negeri akan panggil setiap GLC ini untuk kita letakkan berapa unjuran yang perlu diberikan kepada mereka kelak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2023 @ 6:04 PM