PEMAIN JDT, Safawi Rasid (tengah) cuba melepasi dua pemain Kawasaki Frontale. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
PEMAIN JDT, Safawi Rasid (tengah) cuba melepasi dua pemain Kawasaki Frontale. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri: Johor Darul Ta'zim (JDT) mengekalkan rekod tanpa kalah selepas menamatkan pusingan pertama dan kekal di tangga teratas Kumpulan I pada aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL) apabila seri 0-0 dengan Kawasaki Frontale di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.

Keputusan itu menyaksikan JDT mengumpul tujuh mata dan berpeluang cerah untuk memburu slot ke pusingan kedua ACL dengan syarat perlu menang atau seri apabila menentang Kawasaki Frontale yang berada di kedudukan dua, selepas mengumpul lima mata, pada aksi kedua, Ahad ini.

Pada perlawanan itu, penjaga gol JDT, Farizal Marlias yang terlepas dua perlawanan lalu akibat kecederaan kembali mengemudi gawang gol.

Pengendali skuad Harimau Selatan , Benjamin Mora masih mempertaruhkan kelibat Bergson Da Silva dan Fernando Forestieri bagi menggempur benteng kelab dari Jepun itu.

Berstatus juara Liga 1 Jepun (J1 League) pada musim lalu, Kawasaki Frontale yang dibimbing Toru Oniki hampir mencipta jaringan pada minit kesembilan berpunca daripada kesilapan Shahrul Saad yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya dan Leandro Damiao Santos pantas merembat, tapi Farizal bersedia menyelamatkan bola.

Serangan mengejut anak didik Oniki hampir menghasilkan jaringan pada minit ke-26, namun bola rembatan deras Daiya Tono yang menerima bola umpanan Marcio Barbosa sekadar melepasi palang gol.

JDT turut memberi ancaman terhadap benteng kelab dari Jepun itu pada minit le-39 apabila tonggak pertahanan, Shahrul Saad memberanikan diri untuk merembat bola dari jarak 35 meter memaksa penjaga gol, Jung Sung-ryong merebahkan badan menepis bola dan kedudukan tanpa jaringan kekal sehingga tamat babak pertama.

Bersambung babak kedua, pergerakan JDT masih terbatas untuk merencana gerakan berbahaya apabila Arif Aiman Hanapi yang kerap melakukan larian pantas di posisi sayap kanan sering dikawal ketat dua pemain Kawasaki Frontale.

JDT nyaris dibolosi pada minit ke-73 selepas bola rembatan leret Asahi Sasaki dari jarak 25 meter hampir memerangkap Farizal, tetapi tiang gol kiri menjadi penyelamat dan kedudukan kekal hingga wisel penamat.

Sementara itu, Ulsan Hyundai melakar kemenangan pertama selepas menewaskan Guangzhou FC, 3-0 pada aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, petang tadi.

Skuad kendalian Hong Myung-bo membuka tirai jaringan pada babak pertama menerusi Mark Koszta pada minit ke-28 manakala pada babak kedua Park Chu-young meledak gol pada minit ke-57 disusuli jaringan Yun Il-lok untuk memastikan kemenangan buat kelab dari Korea Selatan itu.

Keputusan

Ulsan Hyundai 3 0 Guangzhou FC

Kawasaki Frontale 0 0 JDT

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2022 @ 12:00 AM