LOCATELLI (kanan) berentap dengan pemain Switzerland. FOTO AFP
LOCATELLI (kanan) berentap dengan pemain Switzerland. FOTO AFP
Agensi

Rom: Arsenal membuat tawaran untuk memiliki pemain antarabangsa Itali Manuel Locatelli dan mendahului pesaing lain bagi mendapatkan tandatangannya, menurut Pengarah Sassuolo Giovanni Carnevali.

Pemain tengah Sassuolo Locatelli, 23, mencuri tumpuan di Euro 2020 dengan menjaringkan dua gol ketika menewaskan Switzerland 3-0 dan membantu Azzurri mara ke suku akhir ketika ketiadaan Marco Verratti akibat kecederaan.

Prestasi Locatelli yang cemerlang ketika kempen 2020-21 bersama Sassuolo yang menduduki tempat kelapan Serie A menarik perhatian banyak kelab ternama dengan Carnevali mengesahkan antaranya Arsenal dan Juventus.

"Juventus hanya kelab tunggal Itali yang berminat dengan Locatelli," kata Carnevali. "Mereka menunjukkan minat dan kami bercakap dengan [pengarah Federico] Cherubini minggu lalu.

"Kami belum bincang aspek kewangan lebih lanjut tetapi kami mempunyai hubungan baik dan akan bercakap mengenainya tidak lama lagi.

"Memang benar ada kelab luar turut berminat termasuk Arsenal. Setakat ini mereka mengatasi pesaing lain dan satu-satunya kelab yang benar-benar serius selepas menawarkan kertas cadangan kepada Manuel."

Selain itu gergasi Sepanyol Real Madrid dan Atletico Madrid turut dikaitkan dengan Locatelli.

Sassuolo dijangka meletakkan harga 50 juta euro kepada bekas produk belia Milan itu yang menyertai Sassuolo secara pinjaman pada 2018 sebelum menjadi pemain kekal pada 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Julai 2021 @ 8:55 PM