PEMAIN Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva diasak pemain lawan, Lee Myung Jae dalam aksi Pasukan JDT menentang Pasukan Ulsan Hyundai FC. -FOTO Aisyah Mazalan
PEMAIN Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva diasak pemain lawan, Lee Myung Jae dalam aksi Pasukan JDT menentang Pasukan Ulsan Hyundai FC. -FOTO Aisyah Mazalan
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Bukan kemenangan mudah. Itu yang diluahkan pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora selepas barisan pemainnya melakar kejutan ke atas pendahulu Liga 1 Korea (K1 League), Ulsan Hyundai pada aksi Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.

Jelas pengendali kelahiran Mexico itu, kemenangan yang dilakar amat mengejutkan kerana reputasi skuad kendalian Hong Myung-bo tidak boleh disangkalkan tatkala pernah menjuarai ACL pada musim 2020 dan belum pernah tewas pada aksi Liga K1.

Katanya, kemenangan yang diraih adalah daripada sikap percaya diri sendiri yang ada pada setiap pemain betapa mereka boleh beraksi dengan baik dan menyaingi kehebatan pemain kelab dari Korea Selatan malah objektif utama JDT memberi sepenuh tumpuan untuk beraksi tanpa tekanan dan mempamerkan aksi konsisten.

"Kami berdepan dengan pasukan lawan yang menguasai 63 peratus permainan tapi kami mampu mengimbangi kekuatan mereka dengan memberi tekanan sepanjang 25 minit perlawanan dan taktik mengajak lawan sentiasa berlari beri kesan apabila mereka tampak keletihan.

"Saya akui secara taktikal permainan dan teknikal, pemain Ulsan Hyundai memiliki segalanya dan kami terpaksa berhempas pulas menyaingi kehebatan mereka yang kerap menggerakkan bola dan menyusun permainan bermula di posisi pertahanan, tengah dan posisi sayap kiri dan kanan.

"Namun di penghujung permainan, kami beraksi dengan baik dan jika kami gagal mengimbangi kekuatan lawan sudah tentu kami tewas pada perlawanan itu tapi saya akui agak sukar untuk mengekalkan taktik permainan yang konsisten," katanya.

Mora juga menjelaskan beliau mengarahkan pemain untuk melakukan tekanan sebaik perlawanan bermula dan menutup ruang di posisi tengah supaya pemain lawan tidak mampu menguasai permainan dan taktikal yang dirancang berjaya di olah pemain sehingga pemain lawan buntu untuk merancang memburu gol.

Sementara itu, Myong-bo menegaskan kesilapan yang dilakukan barisan pertahanan menjadi faktor utama pasukannya tewas malah persembahan yang dipamerkan juga mengecewakan tatkala kerap memberi ruang kepada pemain JDT bergerak dan menyusun serangan.

Katanya, tiada perancangan awal untuk memperlahankan permainan sebaliknya apa yang berlaku di awal lima minit permainan berpunca daripada kegagalan benteng mengawasi penyerang JDT yang memiliki ruang luas untuk merembat bola ke jaring.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2022 @ 11:46 AM