PENGURUS Real Madrid, Carlo Ancelotti mengendalikan latihan pasukannya di Stadium Etihad, Manchester, sebelum menentang Manchester City. FOTO AFP
PENGURUS Real Madrid, Carlo Ancelotti mengendalikan latihan pasukannya di Stadium Etihad, Manchester, sebelum menentang Manchester City. FOTO AFP
AFP

Manchester: Carlo Ancelotti menegaskan sejarah hebat Real Madrid pada kempen Liga Juara-Juara Eropah akan memberikan kelebihan apabila bertemu Manchester City pada perlawanan separuh akhir pertama, awal pagi esok.

Pencapaian 13 kali juara Eropah menyaksikan Madrid sebagai kelab paling berjaya dalam kejohanan, manakala City baru kali pertama mara ke final Liga Juara-Juara Eropah, musim lalu dan tewas 0-1 di tangan Chelsea.

"Sejarah Real Madrid dalam kejohanan ini cukup bermakna bagi kami, berbanding pencapaian lawan," kata Ancelotti pada sidang media.

"Sejarah unggul sejak bertahun lamanya itu membantu pemain merasakan betapa bangganya menyarung jersi pasukan, beban yang positif dan bukannya negatif."

Pep Guardiola pula mengakui Manchester City tidak mampu menyaingi sejarah Real Madrid di Eropah, tetapi menyatakan mereka akan menulis tajuk baharu dengan cara sendiri.

"Jika mahu menandingi sejarah mereka, kami tidak ada peluang langsung," kata Guardiola pada sidang media menjelang perlawanan.

"Kami perlu ada keinginan untuk menyaingi mereka. Bermain menentang Real Madrid adalah ujian hebat. Kami perlu mencuba, bermain bersama, menguasai bola dan cuba menyerang.

"Situasi sama berlaku jika kami berdepan Bayern Munich ayau Barcelona kerana mereka adalah pasukan yang sudah biasa ke final.

"Sedekad lalu, kami tiada di sini dan sekarang sudah ada. Ini adalah pembelajaran yang baik untuk masa depan."

City dan Real turut bertemu di separuh akhir pada 2016 apabila gergasi Sepanyol itu menang 1-0 menerusi agregat, tetapi City membalas dendam di peringkat 16 terbaik pada 2020.

"Tekanan sama dihadapi kedua-dua pasukan," kata Ancelotti. "Bagi Real Madrid, bukan satu kejayaan jika sekadar menang separuh akhir, tetapi kami perlu menang final. Biasanya, jika Real Madrid melangkah ke final, kami berpeluang cerah untuk muncul juara."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 April 2022 @ 10:09 AM