GUARDIOLA (kanan) mengakui jadual padat tidak halang mereka untuk berjaya. FOTO Reuters
GUARDIOLA (kanan) mengakui jadual padat tidak halang mereka untuk berjaya. FOTO Reuters
Reuters

Manchester: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengalu-alukan cabaran untuk menelusuri senarai perlawanan yang padat bulan ini, dengan berkata jadual sibuk adalah hasil penguasaan mereka merentasi pertandingan domestik dan Eropah.

City akan bermain lapan kali pada bulan April dalam Liga Perdana Inggeris, Liga Juara-Juara dan Piala FA, bermula dengan perlawanan liga esok di Burnley sebelum menentang Liverpool dalam separuh akhir Piala FA dan Atletico Madrid.

Pendahulu liga dan juara bertahan itu mengumpul 70 mata daripada 29 perlawanan – satu mata lebih banyak daripada Liverpool yang berada di tangga kedua, lawan yang akan akan ditentang mereka di Stadium Etihad pada 10 April.

"Kami mempunyai banyak perlawanan, tetapi ia bukan kali pertama kami melakukannya... Kami melakukan kerja yang luar biasa setakat ini," kata Guardiola pada sidang akhbar pada hari Jumaat.

"Kami masih mempunyai sembilan perlawanan lagi untuk dimainkan (dalam liga). Kami boleh (membuat) kesilapan dan memenangi kejuaraan... Kami akan berjuang sehingga ke penghujung, itu sudah pasti," kata Guardiola.

Liverpool akan berpeluang memintas City di tangga teratas liga jika mereka menewaskan Watford pada perlawanan awal esok tetapi Guardiola berkata pasukannya kekal fokus pada kunjungan mereka ke Turf Moor.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2022 @ 11:09 PM