BAS pasukan Aston Villa dibaling batu oleh penyokong Burnley. -FOTO Reuters
BAS pasukan Aston Villa dibaling batu oleh penyokong Burnley. -FOTO Reuters
Agensi

London: Cermin depan bas pasukan Aston Villa retak kerana dibaling batu ketika pasukan itu dalam perjalanan pulang ke Midlands selepas mencatatkan kemenangan di Burnley.

Insiden itu berlaku di persimpangan 10 M65 selepas perlawanan Liga Perdana Inggeri (EPL) yang dimenangi Villa dengan keputusan 3-1.

Polis berkata, batu bata itu dicampak dari jambatan pejalan kaki ketika bas itu bergerak untuk melalui laluan yang disediakan.

Dalam satu kenyataan Burnley berkata kelab itu "lega apabila mendengar tiada sesiapa yang cedera dalam insiden itu".

"Kami mengutuk sekeras-kerasnya kelakuan ini dan akan menyokong polis Lancashire dalam usaha mereka mencari sesiapa yang bertanggungjawab," tambah kenyataan itu.

Polis Lancashire, Melita Worswick, berkata: "Kejadian ini berlaku apabila orang ramai berlalu meninggalkan kawasan itu selepas perlawanan bola antara Burnley dan Aston Villa.

"Nasib baik kerana batu bata itu tidak menyebabkan lebih banyak kerosakan, atau mengakibatkan seseorang cedera parah atau terbunuh."

Insiden itu berlaku kira-kira dua batu dari Turf Moor.

Ia adalah perlawanan kedua Burnley di tempat sendiri musim ini.

Selepas perlawanan pembukaan menentang juara Liga Perdana, Manchester City, Burnley mengeluarkan kenyataan yang mengutuk "kelakuan tidak boleh diterima" beberapa penyokong kerana insiden termasuk barangan yang dibaling dan peminat yang memasuki padang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2023 @ 11:36 AM