BARNES menjaringkan gol kedua Burnley. FOTO Reuters
BARNES menjaringkan gol kedua Burnley. FOTO Reuters
AFP

IMPIAN Tottenham untuk memburu gelaran Liga Perdana Inggeris berdepan tamparan hebat apabila jaringan babak akhir Ashley Barnes memberikan kemenangan mengejut 2-1 buat Burnley yang mencemarkan kejayaan Harry Kane menemui sentuhan berbisanya malam ini.

Skuad Mauricio Pochettino sepatutnya menghampiri dua mata berbanding pendahulu Manchester City hasil kemenangan di Turf Moor.

Namun mereka mensia-siakan peluang untuk mencerahkan peluang memburu gelaran dengan aksi hambar yang menyaksikan Chris Wood meletakkan Burnley di depan selepas separuh masa pertama.

Wujud kontroversi mengenai jaringan Wood apabila ia hadir menerusi sepakan sudut yang menurut Tottenham tidak sepatutnya diberikan.

Namun anak buah Pochettino turut beroleh peluang apabila Kane yang kembali selepas berehat tujuh perlawanan susulan kecederaan buku lali, memanfaatkan kesilapan lawan.

Pada ketika itu Tottenham dilihat semakin hampir untuk mencatat kemenangan liga kelima berturut-turut.

Namun mereka menerima padah akibat kepincangan pertahanan apabila Barnes meledak ketika perlawanan berbaki tujuh minit untuk melebarkan rekod tanpa kalah Burnley kepada lapan perlawanan.

Jelas sekali ia tamparan hebat buat pasukan tangga ketiga, Tottenham yang akan ketinggalan lapan mata berbanding Liverpool di tangga kedua, yang ketika ini berkongsi mata dengan City, sekiranya berjaya menewaskan Manchester United malam esok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Februari 2019 @ 11:31 PM