AKSI Ibrahimovic (kiri) ketika bertemu Poland. FOTO EPA
AKSI Ibrahimovic (kiri) ketika bertemu Poland. FOTO EPA
AFP

Stockholm: Zlatan Ibrahimovic berkata dia akan terus beraksi di pentas antarabangsa 'selama mungkin' walaupun Sweden gagal melayakkan diri ke Piala Dunia 2022.

Pemain berusia 40 tahun itu masuk sebagai pemain gantian untuk 10 minit terakhir ketika Sweden tewas 0-2 pada aksi playoff kepada Poland di Chorzow awal pagi tadi.

Ibrahimovic mengharungi musim yang menyaksikannya dilanda kecederaan dan akan berusia 42 tahun menjelang kejohanan antarabangsa utama seterusnya iaitu Euro 2024 di Jerman.

"Saya akan teruskan selagi saya boleh," kata penyerang AC Milan itu pada sidang media.

"Anda tidak akan mendapat jawapan yang berbeza hanya kerana kami tidak memenangi perlawanan ini dan tidak layak ke Piala Dunia.

"Apa saya maksudkan adalah untuk pasukan kebangsaan dan juga Milan."

Ibrahimovic keluar daripada persaraan tahun lalu selepas menggantung but untuk Sweden sebaik berakhir Euro 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2022 @ 9:20 PM