ZLATAN Ibrahimovic (kanan) pada sidang media. FOTO EPA
ZLATAN Ibrahimovic (kanan) pada sidang media. FOTO EPA
AFP

Stockholm: Zlatan Ibrahimovic terpaksa menahan daripada terus menitiskan air mata sebaik tiba di Sweden untuk kembali membuat penampilan bersama skuad kebangsaan selepas lima tahun mengumumkan persaraan.

Penyerang veteran itu menunjukkan sikap lebih sensitif berbanding kasar seperti kebiasaannya ketika ditanya apa pandangan dua anaknya, Maximilian dan Vincent mengenai kepulangannya bersama skuad kebangsaan.

"Anda bertanyakan soalan yang tidak bagus. Vincent ada di sini yang biasanya menangis apabila meninggalkannya. Tetapi tak apalah," katanya yang dilihat menitiskan air mata.

Bercakap kepada media menjelang kempen kelayakan Piala Dunia 2022 bertemu Georgia, Khamis ini, pemain berusia 39 tahun itu mengakui dia lebih bersikap sabar baik di dalam atau di luar padang berbanding ketika mengumumkan persaraan selepas berakhir Euro 2016.

"Sekarang pasti anda berasakan saya lebih baik dan seorang yang merendah diri," kata Ibrahimovic.

Pemain Sweden paling berjaya itu yang juga penyerang AC Milan, mengumumkan persaraan dari pentas antarabangsa selepas melakukan 116 penampilan dan meledak 62 gol untuk pasukan kebangsaan.

Dia mengumumkan kembali bersama skuad kebangsaan dengan gaya tersendiri di Instagram pada minggu lalu.

Ibrahimovic berkata, dia tidak mahu diberikan tempat di dalam pasukan hanya kerana kejayaan lampau, sebaliknya dia sememangnya layak menyarung jersi Sweden ketika ini.

Dia mempamer aksi cemerlang bersama Milan apabila meledak 15 gol di Serie A termasuk gol pertama ketika melakar kemenangan 3-2 ke atas Fiorentina, Ahad lalu sekali gus memberi tekanan kepada pendahulu liga, Inter Milan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mac 2021 @ 8:03 AM