IBRAHIMOVIC kali terakhir mewakili Sweden pada Piala Dunia 2016. FOTO AFP
IBRAHIMOVIC kali terakhir mewakili Sweden pada Piala Dunia 2016. FOTO AFP
AFP

Stockholm: Zlatan Ibrahimovic sedang mengadakan perbincangan bersama ketua jurulatih Sweden, Janne Andersson berhubung kemungkinan untuknya kembali beraksi bersama skuad kebangsaan, kata Persatuan Bolasepak Sweden hari ini.

Berita itu hadir sehari selepas pemain berusia 39 tahun itu memberi bayangan bersedia menyarung kembali jersi skuad kebangsaan selepas bersara dari pentas antarabangsa sebaik berakhir Piala Dunia 2016.

FA Sweden berkata Janne Andersson menemui Ibrahimovic, Rabu lalu untuk membincangkan kemungkinan itu selepas dia mempamerkan aksi cemerlang ketika ini bersama AC Milan.

Ibrahimovic mendahului carta penjaring terbanyak Serie A dengan 10 gol musim ini, lebih daripada keseluruhan 19 gol yang diraih oleh Milan.

"Apabila Zlatan menyatakan hasrat untuk beraksi bersama skuad kebangsaan, adalah sesuatu yang normal dan penting untuk bertemunya membincangkan perkara itu secepat mungkin," kata Andersson dalam satu kenyataan.

"Perbincangan berjalan dengan baik dan kami bersetuju untuk meneruskan perbincangan ini."

Ibrahimovic menyatakan keinginannya untuk kembali bersama skuad kebangsaan selepas memenangi anugerah Pemain Bolasepak Terbaik Sweden buat kali ke-12.

"Jika anda bertanya kepada saya, secara jujur saya merindui aksi bersama skuad kebangsaan.

"Ia bukan rahsia. Kebiasaannya mereka yang merindui aksi itu apabila sudah menamatkan karier. Saya belum lagi menamatkan karier," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 10:07 AM