Al Fatihah buat Allahyarham Azizan Baba. FOTO MUSA
Al Fatihah buat Allahyarham Azizan Baba. FOTO MUSA
Nazri Abu Bakar


Melaka: Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) merakamkan ucapan takziah buat keluarga bekas pemain dan jurulatih pasukan Melaka United bawah 14 tahun, Allahyarham Azizan Baba yang meninggal dunia pagi ini.

Allahyarham pernah mewakili Johor FC (2005 -2011) selain pasukan Sarawak (2012-2013) dan Pulau Pinang (2014) dan kembali ke pangkuan pasukan Melaka pada musim 2015 dan bersama-sama membawa pasukan Hang Tuah muncul juara Liga FAM waktu itu.

Dalam kenyataan MUSA menjelaskan, Allahyarham memulakan kerjaya sebagai pemain Piala Belia dan Piala Presiden sejak 1996 dan seterusnya bersama pasukan Melaka sebelum berhijrah ke beberapa pasukan lain termasuk Johor FC, Sarawak FA dan Pulau Pinang FA.

"Sesungguhnya pemergian Allahyarham satu kehilangan besar buat bola sepak Melaka."

Kami di MUSA mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan di tempatkan bersama golongan yang beriman dan beramal soleh," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden MUSA, Datuk Khairi Anuar Ahmad berkata, kehilangan Allahyarham amat dirasai peminat dan pengikut setia bola sepak Melaka.

Katanya, Allahyarham antara bekas pemain cemerlang yang pernah dimiliki Melaka selain banyak menaikkan imej dan wajah pasukan berkenaan.

"Apapun Allahyarham seorang yang kuat menghadapi penderitaan yang dialami bermula dengan hamstring dan hematoma di paha kiri yang dialami disahkan melarat sebagai kanser dan pernah menjalani pembedahan beberapa kali di hospital swasta.

"Kami di MUSA akan mengadakan sumbangan derma kilat menerusi Jawatankuasa Pertandingan Liga Melaka yang membabitkan keseluruhan 60 pasukan bertanding bagi meringankan beban keluarga Allahyarham," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Liga Melaka 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2022 @ 10:57 AM