ksi skuad Harimau Malaya (jersi kuning) ketika menentang Vietnam pada saingan Piala Suzuki AFF
ksi skuad Harimau Malaya (jersi kuning) ketika menentang Vietnam pada saingan Piala Suzuki AFF
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Laluan getir yang penuh dengan onak berduri bakal ditempuhi skuad Harimau Malaya dalam misi untuk menamatkan badi 42 tahun layak secara merit ke pusingan akhir Piala Asia 2023 di China pada Jun tahun depan.

Ia susulan undian peringkat ketiga Kelayakan Piala Asia yang diadakan atas talian menyaksikan Malaysia diletakkan dalam Kumpulan E bersama Bahrain, Turkmenistan dan Bangladesh.

Berdasarkan kedudukan ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), jelas Bahrain terlalu unggul dan berada di kelas tersendiri apabila kini menghuni tangga ke-89 dunia berbanding skuad kendalian Kim Pan-gon yang hanya di posisi 154.

Malah, kedudukan Turkmenistan juga dilihat lebih baik daripada pasukan kebangsaan di mana negara dari Asia Tengah itu berada pada tangga 134, iaitu 20 anak tangga lebih tinggi daripada skuad Harimau Malaya.

Mungkin satu-satunya aksi yang boleh menghasilkan mata buat pasukan negara adalah apabila berdepan Bangladesh (ranking 186) yang lebih sinonim dengan sukan kriket berbanding bola sepak.

Meskipun skuad Harimau Malaya memiliki sedikit kelebihan selaku tuan rumah, namun berdasarkan rekod menentang Bahrain sama ada dalam aksi persahabatan mahupun pertandingan antarabangsa, keputusan sering tidak memihak pasukan negara.

Terbaharu, pada aksi persahabatan 28 Mei tahun lalu menyaksikan skuad negara kendalian Tan Cheng Hoe ketika itu tewas 0-2 di tangan skuad Merah Putih itu yang berlangsung di Manama, Bahrain.

Begitupun, mungkin ancaman paling merbahaya datangnya dari Turkmenistan kerana tidak banyak maklumat yang diperolehi tentang pasukan itu, ditambah tiada langsung rekod pertemuan antara Malaysia dan negara di Asia Tengah itu.

Namun, jika diimbas kira keputusan aksi menentang jiran tetangganya yang mungkin memiliki corak permainan sama, kekalahan 0-1 di tangan Kyrgyzstan pada 16 Oktober 2018 lalu mungkin boleh dijadikan ukuran tentang kekuatan Turkmenistan itu nanti.

Apapun, ia ujian cukup besar buat Pan Gon dan barisan kejurulatihannya untuk memastikan tiket ke Piala Asia berjaya digenggam lebih-lebih lagi apabila saingan secara sepusingan itu diadakan di depan penyokong sendiri.

Berdasarkan format kelayakan, enam juara kumpulan peringkat ketiga kelayakan ini akan layak secara automatik dengan lima lagi slot untuk naib juara terbaik daripada enam kumpulan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Februari 2022 @ 6:38 PM