PAN-gon bercakap ketika sidang media pengumuman barisan kejurulatihan Harimau Malaya di Wisma FAM, Kelana Jaya.
PAN-gon bercakap ketika sidang media pengumuman barisan kejurulatihan Harimau Malaya di Wisma FAM, Kelana Jaya.
BERNAMA

Petaling Jaya: Perlawanan persahabatan menentang Filipina adalah ujian pertama buat ketua jurulatih kebangsaan Kim Pan-gon dan barisan kejurulatihan baharu skuad Harimau Malaya.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan memaklumkan selain berdepan Filipina pada 23 Mac di Singapura, skuad kebangsaan akan menentang Singapura pada 26 Mac.

Menurut FAM, kedua-dua perlawanan persahabatan itu sebagai persediaan menjelang pusingan Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun ini.

Jurulatih berusia 53 tahun itu pada sidang media hari ini berkata Malaysia berada dalam kedudukan selesa untuk layak ke pusingan akhir selepas dipilih sebagai satu daripada enam tuan rumah saingan pusingan kelayakan itu.

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dalam kenyataan hari ini mengumumkan selain Malaysia, lima lagi negara turut terpilih iaitu India, Kuwait, Kyrgyzstan, Mongolia dan Uzbekistan sebagai tuan rumah bagi merebut 11 tempat dalam pusingan akhir dijadual berlangsung di 10 bandar raya di China.

Pada pusingan kelayakan, 24 negara akan berentap merebut 11 tempat dalam perlawanan ditetapkan pada 8, 11 dan 14 Jun dengan pemenang enam kumpulan dan lima naib juara terbaik akan mara.

Undian akan berlangsung pada 24 Feb secara maya di AFC House Bukit Jalil, yang mana pasukan akan dibahagikan dalam lima balang berasingan dan dibahagikan mengikut ranking terkini Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Februari 2022 @ 9:50 PM