SAIFFUDIN maklumkan FAM sudah tunai segala permintaan AFC.
SAIFFUDIN maklumkan FAM sudah tunai segala permintaan AFC.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persoalan sama ada Malaysia layak menjadi tuan rumah pusingan kelayakan Piala Asia 2023 atau sebaliknya hanya akan terjawab pada hujung bulan ini.

Ini kerana Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah menunaikan segala 'permintaan' Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) termasuk mengemukakan dokumen penting untuk perlawanan terbabit berlangsung tanpa sebarang masalah.

Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar berkata, tarikh 28 Februari dijangka menjadi penentu sama ada Malaysia dapat menjadi tuan rumah pusingan kelayakan ataupun perlu beraksi di negara lain pada Jun depan.

"Kita sudah hantar apa yang diperlukan jadi kita sedang menunggu keputusan. Saya rasa permohonan kita akan dimaklumkan pada 28 Februari nanti. Seperti mana yang dimaklumkan sebelum ini, lebih bagus kalau kita berjaya menjadi tuan rumah tetapi kalau tidak, terpaksalah kita beraksi di luar.

"Sudah tentu ada bajet yang disediakan dan kita akan bekerja dengan bajet yang ada itu. Cuma kita tidak boleh dedahkan perinciannya dan apa yang kita sediakan mengikut peraturan AFC.

"Jadi kita tidak mahu pesaing kita tahu apa yang kita lakukan tetapi saya juga tidak pasti berapa banyak negara yang turut menghantar permohonan untuk menjadi tuan rumah," katanya.

Terdahulu, badan induk itu tidak mahu berputus asa dalam membida salah satu daripada enam venue berpusat yang akan ditawarkan kepada 24 pasukan yang bertanding dalam saingan kelayakan Piala Asia 2023, Jun depan.

Saifuddin sebelum ini berkata, bidaan tuan rumah saingan kelayakan itu tetap akan diteruskan berikutan memberi banyak kelebihan dan kebaikan terutama dalam menjana pendapatan kepada pihak berkaitan selain merancakkan kembali industri bola sepak negara selepas mengharungi musim 'sendu'.

Malah, Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John turut memaklumkan tuan rumah akan mendapat sedikit 'insentif' atas komitmen menganjurkan pusingan kelayakan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Februari 2022 @ 9:58 PM