HAMIDIN alu-alukan hasrat Norizam dahulukan duit sendiri beli VAR.
HAMIDIN alu-alukan hasrat Norizam dahulukan duit sendiri beli VAR.
Firdaus Hashim


Sepang: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedia menerima bantuan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman untuk membeli dan membawa masuk sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) bagi digunakan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, jika Norizam atau lebih popular dengan panggilan Zamburger itu mahu mendahulukan duitnya bagi membantu FAM, sepatutnya usahawan itu datang berjumpa dan berbincang dengannya.

Menurut Hamidin, Norizam tidak perlu menggunakan saluran media bagi menyampaikan hasratnya itu sedangkan pintu FAM sentiasa terbuka buat pemilik The Red Warriors itu.

"Saya ingat kalau dia minat (bantu beli VAR), dia boleh cakap terus dengan FAM, tak perlu cakap di media. Kalau dia nak bantu FAM boleh datang jumpa saya atau pegawai daripada dalam media," katanya ditemui pada Majlis Pelancaran Rasmi Livery Pesawat Airbus 330-300 Harimau Malaya di Kompleks Kejuruteraan MAB, di sini, hari ini. Menerusi laporan Arena Metro semalam, Norizam menawarkan diri untuk mendahulukan duitnya bagi membantu FAM membeli sistem VAR yang dianggarkan jutaan ringgit.

Jelas Norizam, kesediaannya untuk membantu badan induk itu adalah kerana mahu melihat mutu pengadilan bola sepak tempatan berada pada tahap terbaik sekaligus dapat mengelak daripada sebarang keputusan kontroversi oleh pengadil.

Mutu pengadilan Liga M sebelum ini sering menjadi perdebatan hangat dikalangan peminat dan pemerhati bola sepak tempatan.

FAM pernah berhasrat untuk menggunakan VAR dalam saingan liga tempatan namun kos untuk membeli sistem itu cukup tinggi yang dianggarkan sekitar RM25 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Februari 2022 @ 4:15 PM