AURA dan sokongan padu penyokong bola sepak tempatan khususnya Ultras Malaya amat ditagih oleh barisan pemain skuad Harimau Malaya. FOTO NSTP
AURA dan sokongan padu penyokong bola sepak tempatan khususnya Ultras Malaya amat ditagih oleh barisan pemain skuad Harimau Malaya. FOTO NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersungguh mahu memastikan bidaan tuan rumah bagi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 tidak akan terlepas daripada genggaman.

Komitmen itu diluahkan Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar apabila mengesahkan badan induk bola sepak tempatan itu bersedia merebut salah satu daripada enam venue berpusat yang akan ditawarkan kepada semua 24 pasukan di saingan itu nanti.

Jelas Saifuddin, kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri itu penting bagi memastikan sasaran untuk layak ke Piala Asia di China pada 2023 itu menjadi kenyataan.

"Memang hasrat kita kali ini kita nak bersaing untuk menjadi tuan rumah pada perlawanan itu (Kelayakan Piala Asia). Kita masih menunggu sehingga AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) membuka bidaan buat semua pasukan dan InsyaAllah kita akan cuba untuk dapatkannya," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sememangnya aura dan sokongan padu penyokong bola sepak tempatan khususnya Ultras Malaya amat ditagih oleh barisan pemain skuad Harimau Malaya yang sentiasa menampilkan aksi luar biasa setiap beraksi di hadapan penyokong tempatan.

Justeru kesempatan itu harus dimanfaatkan sebaiknya oleh FAM untuk meraih hak sebagai tuan rumah.

Menerusi pendedahan Arena Metro semalam, skuad kendalian Tan Cheng Hoe berkemungkinan berdepan ranjau lebih berlaku pada pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 apabila saingan secara berpusat bakal digunakan selepas terdapat beberapa negara yang masih menutup pintu sempadan ekoran pandemik Covid-19.

Malah, Malaysia juga antara negara yang belum membenarkan acara sukan antarabangsa diadakan buat masa ini.

Ia bermakna, skuad kebangsaan terpaksa terbang beraksi di negara lain yang mungkin memberi kelebihan buat tuan rumah untuk mengungguli saingan kumpulan, di mana juara daripada enam kumpulan dan lima naib juara akan layak secara automatik ke Piala Asia.

Ditanya bagaimanakah FAM mahu mendapatkan kebenaran daripada pihak Kerajaan, Saifuddin mengakui pihaknya akan terlebih dulu berbincang dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai hasrat untuk membida hak tuan rumah itu.

"Kita akan memohon dulu (kepada KBS) sebelum kita buat pembidaan (dengan AFC) untuk mendapatkan kelulusan. Pandangan dan persetujuan KBS, KKM dan MKN adalah penting, dan kita akan berbincang nanti.

"Banyak keuntungan untuk negara kita dengan cara begini (penganjuran pertandingan antarabangsa), di mana sektor ekonomi pun akan berjalan baik dan juga merancakkan sektor pelancongan negara dengan kemasukan pasukan luar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Oktober 2021 @ 10:34 PM