Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu
Syazwan Msar


Putrajaya: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memberi sokongan sepenuhnya dalam usaha merealisasikan impian menjadi tuan rumah kelayakan Piala Asia 2023 Jun depan.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya memberi 'jaminan' akan pastikan bidaan tuan rumah untuk pertandingan itu berjalan lancar dan berjaya seperti yang diingini semua pihak.

Beliau berkata, komitmen tinggi akan diberikan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) supaya badan induk bola sepak negara itu tidak berhadapan masalah untuk menjadi tuan rumah kepada perlawanan penting terbabit.

"Kita mengalu-alukan usaha yang dibuat FAM dan KBS sudah tentu akan beri kerjasama rapat serta komitmen supaya mendapat hasil diinginkan iaitu menjadi tuan rumah kepada perlawanan kelayakan itu," katanya pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Ibu Pejabat Baharu FAM, hari ini.

Sebelum itu, Arena Metro melaporkan bidaan tuan rumah membabitkan perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 tetap menjadi antara matlamat utama FAM bagi memastikan skuad Harimau Malaya mempunyai kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.

Namun, disebalik usaha memastikan bidaan memihak kepada Malaysia, jaminan kerajaan cukup penting supaya perlawanan yang berlangsung di negara ini tidak menghadapi sebarang kekangan.

Ini kerana, halangan utama yang menyebabkan bidaan terbabit gagal adalah situasi Covid-19 di negara ini sekali gus menyebabkan terpaksa dibatalkan seperti yang pernah dialami saingan domestik selepas Malaysia diberi hak penganjuran nanti.

Sementara itu, Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya sudah menghantar borang permohonan untuk menjadi tuan rumah bagi perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023.

"Kita sudah hantar (borang permohonan) kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) termasuk mendapatkan sokongan semua pihak merangkumi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Isu sekarang adalah tempoh kuarantin tujuh hari. Seperti sedia maklum ada ramai yang membida untuk menjadi tuan rumah.

"Oleh itu, kita kena berikan terbaik merangkumi fasiliti seperti hotel dan juga venue perlawanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 January 2022 @ 8:36 PM